Peningkatan caj hospital swasta di Malaysia membimbangkan - Menteri Kesihatan | DagangNews Skip to main content

Peningkatan caj hospital swasta di Malaysia membimbangkan - Menteri Kesihatan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Nov - Kemudahan penjagaan kesihatan swasta digesa mengambil tindakan lebih tegas bagi mengawal kos rawatan perubatan yang semakin meningkat, yang kini berada pada 12.5%, lebih daripada dua kali ganda purata global.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kebimbangan terhadap kadar inflasi perubatan itu yang memberi kesan kepada rakyat seterusnya memerlukan perbincangan lanjut untuk memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta ditawarkan pada harga yang lebih munasabah.

 

"Walaupun terdapat beberapa kawalan terhadap yuran doktor, caj hospital yang meningkat amat membimbangkan," katanya semasa pelancaran Buku Fakta Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) pada Khamis.

 

 

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia mendedahkan, Malaysia mencatatkan kadar inflasi kos perubatan sebanyak 12.6% pada 2023, melebihi purata global sebanyak 5.6%.

 

Walaupun terdapat kebimbangan itu, Dzulkefly mengakui sumbangan berharga fasiliti penjagaan kesihatan swasta, terutama semasa pandemik Covid-19, ketika mereka berfungsi sebagai pusat imunisasi dan meringankan beban hospital awam.

 

"Kerjasama ini merangkumi bukan sahaja perkhidmatan sekunder dan tertiari, tetapi juga penjagaan pra-hospital dan penjagaan primer," tambahnya sambil menekankan kepentingan kerjasama awam swasta dalam memacu reformasi penjagaan kesihatan di Malaysia.

 

Beliau pada masa sama turut menggalakkan individu dalam kelompok pendapatan tinggi untuk mendapatkan insurans kesihatan.

 

Membincangkan potensi penyelesaian terhadap inflasi perubatan, beliau berkata skema pembayaran Kumpulan Berkaitan Diagnostik (DRG) yang masih belum dilaksanakan, mungkin boleh menjadi solusi.

 

"Ia masih dalam proses. Sama ada ia DRG atau beralih kepada Kumpulan Campuran Kes (CRG), saya rasa kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengurangkan dan mengatasi inflasi perubatan," katanya.

 

Sistem DRG mengkategorikan pesakit dengan diagnosis klinikal yang serupa untuk menguruskan kos hospital dengan lebih baik, manakala alat CRG bertujuan meningkatkan kecekapan dan kualiti penjagaan. - DagangNews.com