Pentamaster Corp Bhd nafi dakwaan pelanggaran paten oleh syarikat UK, Ocado Innovation Ltd | DagangNews Skip to main content

Pentamaster Corp Bhd nafi dakwaan pelanggaran paten oleh syarikat UK, Ocado Innovation Ltd

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Jan - Pentamaster Corp Bhd (Pentamaster) menafikan dakwaan pelanggaran paten yang difailkan oleh Ocado Innovation Ltd, anak syarikat kepada kumpulan Ocado yang beribu pejabat di United Kingdom, berhubung teknologi automasi gudang dan robotik. 

 

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang mendakwa Pentamaster telah membangunkan atau menggunakan sistem yang melanggar harta intelek milik Ocado.

 

Pentamaster menyifatkan dakwaan terbabit sebagai tidak berasas dan berhasrat untuk memohon agar saman tersebut dibatalkan. 

 

 

Syarikat menegaskan, pihaknya tidak terlibat dengan teknologi yang disebutkan dalam tuntutan berkenaan.

 

Ocado menuntut penyelesaian termasuk pengisytiharan pelanggaran paten, perintah injunksi, ganti rugi, kos undang-undang dan menggesa produk yang melanggar harta intelek itu dilupuskan.

 

Nilai kewangan bagi tuntutan tersebut tidak didedahkan.

 

Pentamaster juga menyatakan, tindakan undang-undang itu tidak akan memberi kesan besar terhadap kedudukan kewangan atau operasi syarikat, kecuali untuk kos guaman. 

 

Prosiding kes dijadualkan pada 14 Januari 2025. - DagangNews.com