Perbadanan PR1MA Malaysia, CIDB perkukuh kerjasama tingkatkan kualiti kediaman PR1MA | DagangNews Skip to main content

Perbadanan PR1MA Malaysia, CIDB perkukuh kerjasama tingkatkan kualiti kediaman PR1MA

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt - Agensi perumahan mampu milik utama di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengeratkan kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang menggariskan kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak bagi memperkukuhkan kualiti industri pembinaan dan pembangunan projek-projek PR1MA. 

 

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria, disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi semasa Majlis CIDB QUEST Award bersempena International Construction Week (ICW) 2024.

 

Demi memperkukuh kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua organisasi, MoU antara PR1MA dan CIDB tersebut secara keseluruhannya melibatkan beberapa objektif utama, termasuk penerapan teknologi pembinaan terkini seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM), Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (QLASSIC) dengan syarat keperluan projek PR1MA bagi QLASSIC adalah sekurang-kurangnya 70% dan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC). 

 

PRIMA

 

Selain itu, PR1MA dan CIDB juga akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan (COE) bagi tujuan latihan dan perkongsian maklumat serta akan memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi pembinaan di Malaysia. 

 

Kerjasama terbabit turut melibatkan pelaksanaan Program Pembangunan Kontraktor, yang akan merekod dan menilai keupayaan kontraktor dalam melaksanakan projek berteknologi tinggi, justeru meningkatkan lagi kredibiliti kontraktor dalam sektor pembinaan.


 
Di samping itu, PR1MA dan CIDB juga akan memperkenalkan program latihan kemahiran dan kompetensi yang melibatkan kontraktor serta kakitangan di bawah PR1MA dan CIDB. 

 

Keterlibatan berkenaan termasuk pertukaran kakitangan antara agensi dan program perintisan untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia dalam sektor pembinaan.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, kedua-dua pihak juga akan memberi penekanan kepada aspek kemampanan pembinaan dengan penerapan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

 

PR1MA dan CIDB juga bersetuju untuk bekerjasama dalam apa-apa perkara berkaitan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

 

Mohd Nazri berkata, MoU itu mencerminkan komitmen PR1MA dalam menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi dengan menerapkan teknologi pembinaan terkini, serta mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja PR1MA. 

 

"Dengan kerjasama CIDB, kami berharap akan dapat meneruskan mandat untuk menyediakan kediaman yang berkualiti, selamat dan lestari untuk manfaat rakyat Malaysia.

 

"Kolaborasi ini juga akan dapat mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik di seluruh negara, selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman yang berkualiti," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, dengan penggabungan inovasi teknologi dan program latihan khusus itu, PR1MA dan CIDB berupaya meningkatkan daya saing kontraktor tempatan seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia Madani, yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan kemampanan dalam pembangunan.

 

Setakat Oktober 2024, PR1MA mempunyai 89 projek bersamaan 54,660 unit di seluruh Malaysia yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan. 

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 61 projek yang terdiri daripada 41,321 unit telah berjaya  disiapkan, manakala 28 projek yang terdiri daripada 13,339 unit masih dalam fasa pembinaan dan perancangan. - DagangNews.com