KUALA LUMPUR 20 Jan - Permintaan untuk produk pembungkusan plastik pada 2025 berkemungkinan besar hanya menyaksikan peningkatan kecil, seiring dengan pemulihan perdagangan global yang lebih perlahan.
Kenanga Research berkata, kuasa membeli dari Jepun dijangka meningkat disokong pengukuhan yen yang berpotensi memacu permintaan untuk produk premium berkualiti tinggi daripada pengeluar Malaysia.
"Sementara itu, dalam pasaran domestik, sentimen tunggu dan lihat berterusan memandangkan jangkaan mengenai trend penurunan harga resin, menyebabkan permintaan yang lebih lemah.
"Dalam jangka panjang, disokong oleh kos yang lebih rendah, skala ekonomi yang lebih besar dan inovasi produk terutamanya ke arah bahan pembungkusan plastik yang mampan, pemain tempatan menyasarkan penguasaan pasaran yang lebih besar di pasaran luar negara," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, peralihan ke arah produk premium margin tinggi, peningkatan automasi dan pelaburan dalam pemasangan tenaga solar boleh mengurangkan sebahagian daripada tekanan kos.
Mereka juga percaya kebanyakan kebimbangan dalam sektor itu seperti pemampatan margin sementara dan peningkatan kos logistik ditunjukkan dalam harga saham memandangkan saham di bawah perlindungan kami didagangkan pada purata diskaun antara 10% hingga 20%.
"Oleh itu, sektor ini kini memberi peluang yang baik kepada pelabur jangka panjang," katanya.
Kenanga Research berkata, pilihan utama mereka dalam sektor itu ialah Thong Guan Industries Bhd
"Kami terus menyukai kumpulan itu kerana dorongan agresifnya ke pasaran Eropah dan AS dengan produk mesra alam, berprestasi tinggi, dan rancangan pengembangannya untuk produk premium, seperti filem regangan nano, bungkus makanan dan beberapa beg industri," katanya yang mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM2.58 sesaham.
Firma penyelidikan itu juga menyukai BP Plastics Holdings Bhd kerana kedudukan yang kukuh dalam pasaran Asia Tenggara dan aliran tunai yang kukuh yang membolehkannya mengharungi kemelesetan dengan lebih baik.
Selain itu, pengembangan kapasiti jangka panjang dalam filem regangan premium margin tinggi dan produk filem regangan, meletakkannya untuk memanfaatkan kitaran naik seterusnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan "outperform" terhadap BP Plastics dengan TP RM1.42 sesaham. - DagangNews.com