Permintaan projek perumahan transit dan mampu milik dijangka meningkat di Malaysia pada 2025 - Titijaya | DagangNews Skip to main content

Permintaan projek perumahan transit dan mampu milik dijangka meningkat di Malaysia pada 2025 - Titijaya

Titijaya berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pasaran yang luar biasa itu. - Gambar hiasan
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Jan - Pasaran hartanah Malaysia dijangka menunjukkan peningkatan pada 2025 berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk projek pembangunan berorientasikan transit (TOD) dan projek perumahan mampu milik.

 

Pengarah Urusan Titijaya Land Bhd (Titijaya), Datuk Lim Poh Yit berkata, permintaan yang semakin tinggi untuk projek TOD datang daripada golongan pekerja muda di bandar.

 

Katanya, sokongan bagi segmen TOD akan diperkukuh oleh projek kemudahan pengangkutan awam yang sedang dibangunkan atau dirancang di seluruh Malaysia, termasuk Fasa 2 Laluan Berkembar Lembah Klang, Laluan Kereta Api Pantai Timur, MRT 3 Laluan Bulatan, LRT 3 dan Laluan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

 

"Dengan menumpukan pejabat, peruncitan dan kediaman dalam kawasan hentian stesen pengangkutan awam, projek TOD menjadikan pengangkutan awam lebih menarik dan berkesan, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi dan menggalakkan perjalanan yang lebih singkat.

 

"Oleh itu, TOD biasanya membawa kepada peningkatan produktiviti dan jejak karbon yang lebih kecil," katanya dalam satu kenyataan.

 

 

titijaya

 

 

Beliau berkata, Titijaya berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang pasaran yang luar biasa itu, disokong oleh pembangunan bercampur Riveria City di KL Sentral yang bernilai RM1.5 bilion.

 

Fasa pertama Riveria City, The Riv, telah siap sepenuhnya dan terjual. Kumpulan kini melancarkan Fasa 2, The Ria, untuk memenuhi permintaan projek TOD yang semakin meningkat.

 

Riveria City adalah pembangunan dengan jarak hanya 100 meter dari stesen monorel Tun Sambanthan serta berhampiran hab pengangkutan KL Sentral.

 

Dibangunkan bersama oleh Titijaya dan Prasarana Integrated Development Sdn Bhd, Riveria City bakal menjadi mercu tanda pembangunan bersepadu yang menggabungkan ruang runcit tepi sungai, pejabat moden dan pangsapuri perkhidmatan mewah.

 

Fasa 1, The Riv, adalah menara setinggi 54 tingkat dengan 784 suite pejabat bernilai kasar RM374 juta yang telah siap dan habis dijual sepenuhnya.

 

Berkaitan projek perumahan mampu milik, Poh Yit berkata, pembeli semakin berhati-hati dengan perbelanjaan mereka berikutan kebimbangan terhadap inflasi yang meningkat, penyelarasan subsidi dan kemungkinan kenaikan kadar faedah pada 2025.

 

Jelas beliau, peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2023 menyebabkan kenaikan bayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan bagi ramai pembeli hartanah Malaysia.

 

Katanya, mereka yang mengambil pinjaman lebih besar, terutamanya yang memperoleh pinjaman kadar terapung, akan terkesan paling teruk akibat kenaikan kadar OPR.

 

"Harga antara RM500,000 dan RM700,000 dahulunya merupakan julat harga yang digemari oleh pembeli hartanah tempatan, tetapi ia telah berubah disebabkan oleh kuasa beli yang lebih rendah daripada jangkaan dan kos sara hidup yang lebih tinggi.

 

"Akibatnya, pembeli yang sebelum ini memilih unit berharga RM500,000 kini mencari unit yang berharga RM300,000," tambahnya. - DagangNews.com