Pertambahan kontrak diramal pacu pertumbuhan pendapatan Dialog - CGS International | DagangNews Skip to main content

Pertambahan kontrak diramal pacu pertumbuhan pendapatan Dialog - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Dis - Pendapatan Dialog Group Bhd diyakini bertambah baik didorong pertambahan lebih banyak kontrak.

 

CGS International berkata, keuntungan penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu untuk sektor tenaga antara Januari hingga Jun 2025 dijangka bertambah baik berikutan beberapa kerja pemulihan loji penapisan dan petrokimia dijadualkan.

 

Katanya, syarikat itu bersedia untuk menamatkan kemarau panjang kontrak terminal tangki dengan projek besar untuk ChemOne yang berpangkalan di Indonesia, yang merupakan pemangkin penilaian semula.

 

"Kami juga menjangkakan Dialog akan membuat keputusan pelaburan muktamad mengenai pembangunan huluan Kluster Junior Baram pada awal 2025," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran (TP) RM2.61 sesaham.

 

Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata, pengeluar petrokimia yang berpangkalan di Indonesia ChemOne, penaja projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) di Pengerang, Johor telah menyiarkan di LinkedIn baru-baru ini telah menjadi tuan rumah kepada pembiaya dari seluruh dunia di Kuala Lumpur.

 

Ia adalah bagi "memuktamadkan pembiayaan projek” untuk projek PEC, dengan “sokongan kuat daripada pembiaya kanan” termasuk Bank Eksport-Import Malaysia Bhd.

 

“Pembiaya kanan dan penasihat mereka berkumpul dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah, Kerajaan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

 

ChemOne berharap "mencapai penutupan kewangan untuk projek PEC menjelang suku pertama 2025".

 

Katanya, PEC melibatkan pembinaan kilang penapisan kondensat 150,000 tong sehari (bpd), dengan pengeluaran campuran bahan api pengangkutan dan naik taraf hiliran kepada paraxylene, antara petrokimia lain.

 

Kapasiti pemprosesan loji penapisan PEC ialah separuh daripada kapasiti penapisan minyak mentah 300,000 bpd Pengerang Refining Co, yang merupakan usaha sama (JV) 50:50 antara Petronas dan Saudi Aramco.

 

"Kami berpendapat kapasiti petrokimia mungkin lebih kecil daripada kapasiti pengeluaran Pengerang Petrochemical Co, iaitu JV 50:50 antara Petronas Chemicals dan Saudi Aramco.

 

"Loji penapisan PEC, jika ia dibina, adalah positif untuk Terminal Air Dalam Pengerang Dialog kerana kami percaya Dialog berkemungkinan besar memasuki kontrak pemajakan terminal tangki ambil atau bayar jangka panjang baharu dengan ChemOne," katanya.

 

CGS International berkata, risiko kemerosotan kepada panggilannya termasuk sebarang kesan tidak dijangka daripada kerugian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).- DagangNews.com