PERTIMA sasar jualan RM15 juta pada 2025, setelah berjaya raih RM9 juta tahun ini | DagangNews Skip to main content

PERTIMA sasar jualan RM15 juta pada 2025, setelah berjaya raih RM9 juta tahun ini

Syed Mohd Asdi menunjukkan produk keluaran Pertima Trengganu Sdn Bhd. - Gambar DagangNews
Eksklusif oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 30 Okt - Pertima Trengganu Sdn. Bhd. (PERTIMA), syarikat pengeluar produk makanan dalam tin milik kerajaan negeri menyasarkan jualan sebanyak RM15 juta pada tahun 2025.

 

Pengurus Besarnya, Syed Mohd Asdi Tuan Ngah berkata, pihaknya optimis dapat mencapai sasaran itu dengan pelbagai strategi pemasaran yang sedang dilakukan syarikat.

 

Pada tahun ini, jualan yang direkodkan PERTIMA juga sangat menggalakkan iaitu sebanyak RM9 juta.

 

"Ini adalah peningkatan 80 peratus berbanding jualan yang direkodkan pada tahun 2023.

 

"Produk paling laris sudah tentunya sardin dalam sos Sos tomato yang berkualiti tinggi dan mendapat permintaan memberangsangkan di pasaran tempatan dengan menguasai 80 peratus segmen jualan syarikat," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

 

Pertima
Syed Mohd Asdi Tuan Ngah

 

Pertima

 

Pertima
Kilang pemprosesan produk Pertima Trengganu Sdn Bhd di Chendering - Gambar DagangNews

 

 

Ketika ini, sardin dalam sos tomato yang dikeluarkan PERTIMA dijual dalam tin dengan tiga saiz iaitu 425 gram, 230 gram dan 155 gram.

 

Syed Mohd Asdi berkata, produk lain yang mendapat sambutan tinggi ialah kuah kacang, kuah laksa Terengganu, kari ayam, seri kaya, aambal bilis, sapuan sardin dan tomato puri.

 

"Kelebihan produk keluaran PERTIMA ialah kualitinya yang tinggi kerana menggunakan bahan mentah yang segar untuk memenuhi citarasa pengguna.

 

"Ditambah pula keyakinan pengguna dengan adanya sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan sijil HACCP dari Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

"Kesemua peralatan dan mesin yang terdapat di kilang ini juga adalah berteknologi canggih dengan meletakkan aspek kebersihan sebagai fokus utama," katanya.

 

 

Pertima

 

Pertima
Kilang pemprosesan produk Pertima Trengganu Sdn Bhd di Chendering - Gambar DagangNews

 

 

PERTIMA dibangunkan di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pada 1972 dan beroperasi di Kawasan Perindustrian Chendering dengan seramai 70 pekerja yang 100 peratus anak tempatan.

 

Di awal penubuhannya, syarikat ini merupakan pembekal tunggal sardin kepada semua agensi kerajaan di seluruh Semenanjung tanah air selama lebih 20 tahun. - DagangNews.com