KUALA LUMPUR 13 Jan - Langkah sementara bagi menangani kenaikan premium insurans perubatan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan pendapatan Allianz Malaysia, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun syarikat insurans berkemungkinan akan menghadkan premium perubatan mereka, kos perubatan dan tuntutan tidak semestinya boleh dibendung.
Dasar baharu BNM menyarankan syarikat insurans menaikkan premium insurans dalam tempoh 3 tahun sehingga 2026 bagi memastikan majoriti pemegang polisi mengalami kenaikan premium tahunan tidak melebihi 10% setahun.
"Kami menyemak turun saranan Allianz daripada "beli" kepada "pegang" akibat ketidakpastian mengenai pembendungan kos perubatan dan tuntutan.
“Pelarasan penilaian Jumlah Bahagian (SOTP) sebanyak 10% menurunkan harga sasaran Allianz daripada RM24.85 kepada RM22.40, berdasarkan kemungkinan kumpulan insurans itu mengehadkan perubatan premium dan rundingan berterusan dengan pihak berkepentingan," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Walaupun syarikat insurans dijangka mengehadkan premium, Maybank IB meramalkan, perbincangan antara pihak berkuasa dan hospital akan terus tertumpu kepada pengawalan inflasi kos perubatan dan tuntutan insurans.
"Kami tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap pendapatan tahun ini. Bagaimanapun, kegagalan untuk mengehadkan tuntutan dijangka memberi impak negatif ke atas pendapatan Allianz.
"Bagi peningkatan 10% dalam hasil dan kenaikan 20% tuntutan di Allianz Life akan menurunkan kepada pendapatan FY26 kumpulan kira-kira 2% sehingga 4%,"katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, antara risiko yang boleh menjejaskan saranan dan TP Allianz termasuk sentimen pengguna dan pertumbuhan kekayaan isi rumah, tuntutan insurans tinggi akan menjejaskan keuntungan syarikat dan 'penyahtarifan' tarif motor akan menjejaskan keuntungan keseluruhan jika persaingan kadar semakin sengit.- DagangNews.com