Petronas Lubricants International: 'Kejayaan di Laluan Pantas' terus beri inspirasi kepada pelajar Malaysia | DagangNews Skip to main content

Petronas Lubricants International: 'Kejayaan di Laluan Pantas' terus beri inspirasi kepada pelajar Malaysia

Kira-kira 150 pelajar automotif dan kejuruteraan dari universiti tempatan menyertai sesi kelima 'Kejayaan di Laluan Pantas' di Pusat Kepimpinan Petronas di Bangi, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

BANGI 8 Okt - Petronas Lubricants International menganjurkan sesi kelima 'Kejayaan di Laluan Pantas' bersama Jurutera Cecair Trackside Petronas (PTFE) untuk pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula One (MAMGP F1), Wan Mohd Saifullah Wan Saudi sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memberi inspirasi kepada pelajar universiti dengan pandangan dunia sebenar daripada pakar industri automotif dan sukan permotoran.

 

Sebagai rakan tajaan dan teknikal untuk pasukan MAMGP F1, PTFE memainkan peranan penting dalam membangunkan formula yang memenangi kejuaraan melalui Petronas Fluid Technology Solutions. 

 

Ujian dan analisis ketat yang dilakukan di litar F1 memberikan pandangan berharga bagi pasukan, yang akan diterapkan kepada produk yang dijual kepada pemandu harian di jalan raya.

 

Dalam sesi tersebut, Wan Mohd Saifullah berkongsi pengalamannya sebagai jurutera cecair di litar untuk pasukan MAMGP F1.

 

"Sukan F1 memerlukan ketepatan, kecemerlangan manusia dan kejuruteraan yang saling berkait dalam menyumbang kepada kejayaan keseluruhan pasukan. Setiap bahagian kereta direka dengan teliti untuk memberikan kita kelebihan walaupun yang paling kecil, membolehkan kita bersaing pada tahap tertinggi.

 

"Peranan kami sebagai PTFE adalah penting untuk memastikan prestasi enjin berada pada tahap maksimum. Dengan melakukan analisis mendalam terhadap data cecair, kami memberikan pandangan berharga untuk membantu pasukan kejuruteraan membuat keputusan yang berinformasi bagi meningkatkan prestasi," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau turut berbangga kerana dapat menawarkan perspektif dan pengalaman unik dalam sukan yang menerima individu berbakat dari pelbagai latar belakang untuk mendorong sempadan kecemerlangan.

 

Sesi yang diadakan di Pusat Kepimpinan Petronas di Bangi itu dihadiri oleh kira-kira 150 pelajar automotif dan kejuruteraan dari universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti KL (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI), Universiti Taylor dan Universiti Monash.

 

Untuk memberi lebih inspirasi kepada pelajar, jurutera itu berkongsi motivasi dan dedikasinya, menggalakkan mereka untuk mengejar minat dengan ketekunan. 

 

Sesi tersebut ditutup dengan sesi soal jawab, di mana pelajar berpeluang untuk bertanya kepada beliau dan mendapatkan nasihat kerjaya yang berharga.

 

Peserta dari Universiti Taylor, Marcus Yeoh menyifatkan, perkongsian Wan Mohd Saifullah beralih dari Kejuruteraan Elektrik ke Kejuruteraan Kimia sangat mengagumkan selain mengetahui pasukan F1 terbaik di dunia terdiri daripada individu berbakat dari pelbagai latar belakang dan mesti bergantung kepada kekuatan masing-masing untuk berjaya.

 

Haris Danial dari Monash Motorsport Malaysia pula berkata, dia berpeluang belajar daripada jurutera tersebut tentang cabaran terbesar yang dihadapinya dan bagaimana beliau mengatasinya. 

 

"Sebagai pelajar yang baru memulakan perjalanan, saya mudah lupa bahawa kejayaan tidak akan dicapai tanpa cabaran," katanya.

 

'Kejayaan di Laluan Pantas' adalah sambungan kepada siri Petronas Lubricants International yang dimulakan pada tahun 2021, bertajuk 'Membentuk Graduan Sedia Industri'. 

 

Siri itu diadakan sebagai usaha oleh syarikat untuk menyediakan graduan sedia industri dalam bidang automotif, yang sangat penting bagi pelajar Malaysia yang menghabiskan lebih setahun belajar secara maya semasa pandemik.

 

Siri berkenaan terus menampilkan profesional terkemuka dalam bidang automotif dengan pengalaman yang relevan untuk melengkapkan generasi akan datang dengan pandangan industri. 

 

Sesi terakhir 'Kejayaan di Laluan Pantas' ditujukan kepada pelajar dari pelbagai industri, dengan George Russell sebagai pemandu F1 pertama yang dipilih sebagai penceramah. - DagangNews.com