PLB Engineering cadang jual 60% saham PLB Green Solar berharga RM19.8 juta, bayar balik pinjaman bank | DagangNews Skip to main content

PLB Engineering cadang jual 60% saham PLB Green Solar berharga RM19.8 juta, bayar balik pinjaman bank

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - PLB Engineering Bhd beracada melupuskan 60% saham dalam PLB Green Solar Sdn Bhd dengan pertimbangan tunai RM19.8 juta bagi membayar balik pinjaman bank.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, penjualan saham dalam firma tenaga solar melalui anak syarikat 85.71% miliknya, PLB Terang Sdn Bhd dijangka menjana keuntungan RM10.76 juta dalam kumpulan.

 

Syarikat pembinaan dan hartanah itu berkata, pembeli 60% saham, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd, juga membeli 40% lagi saham dalam PLB Green Solar daripada pengurusan sisa dan firma tenaga boleh diperbaharui (RE) Greenviro Solutions Sdn Bhd pada harga RM13.2 juta.

 

“Ia juga merupakan sebahagian daripada strategi PLB untuk membuka kunci nilai dan mengewangkan aset bukan terasnya di mana hasil yang diperoleh daripada pelupusan yang dicadangkan akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank bagi meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan. 

 

"Langkah ini akan meningkatkan nisbah semasa dan menambah baik aliran tunai kumpulan berikutan perbelanjaan faedah yang lebih rendah,” katanya.

 

Bagi tahun kewangan 2023 (FY23), keuntungan selepas cukai PLB Green Solar menurun 5.26% daripada tahun sebelumnya kepada RM840,000 akibat peningkatan dalam kadar faedah pinjaman berjangka. 

 

Hasilnya pula meningkat 2.76% kepada RM13.53 juta didorong oleh keadaan cuaca menggalakkan dan penyelenggaraan tapak konsisten.

 

Sehingga akhir Mei, tunai dan baki bank PLB berjumlah RM6.6 juta, manakala simpanan tetap dengan bank  berjumlah RM4.4 juta.

 

Jumlah pinjaman kumpulan berjumlah RM173.1 juta, terdiri daripada RM64.61 juta pinjaman jangka pendek dan RM108.49 juta pinjaman jangka panjang. 

 

Sementara itu, kerugian terkumpul PLB berjumlah RM16.7 juta.- DagangNews.com