KUALA LUMPUR 21 Jan - Margin peleburan Press Metal Aluminium Holdings Bhd berkemungkinan menyusut pada suku keempat berakhir 31 Dis 2024 (4Q24) akibat kekurangan bekalan alumina, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).
Walaubagaimanapun, firma penyelidkan itu menjangkakan syarikat itu mencatatkan hasil sebanyak RM400 juta pada suku tersebut, menjadikan jumlah tahun kewangan 2024 (FY24) kepada RM1.74 bilion.
"Ini menyumbang kepada unjuran FY24 kami sebanyak 98 sehingga 100%.
"Oleh kerana kekurangan bekalan alumina akibat gangguan eksport bauksit Brazil dan Guinea dan sekatan kapasiti di Australia, ini menyebabkan harga alumina melonjak ke paras tertinggi sebanyak AS$803 setiap tan pada awal Disember 2024.
"Kenaikan harga itu membawa kepada harga purata yang lebih kukuh secara berturutan sebanyak AS$694 setiap tan.
"Walaupun purata harga aluminium LME telah meningkat 8% suku ke suku (QoQ) kepada AS$2,572 setiap tan pada 2024, margin peleburan Press Metal mungkin akan menyusut pada 4Q24 apabila nisbah harga alumina-aluminium meningkat kepada 27%.
"Tambahan pula, kehilangan 9% kapasiti peleburan akibat insiden kebakaran di peleburan fasa 3 pada September, akan dirasai sepenuhnya pada suku tersebut dan membawa kepada jumlah jualan yang lebih rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kemerosotan pendapatan sebahagiannya akan diimbangi oleh PT Bintan disebabkan oleh purata harga alumina yang lebih kukuh pada 4Q24 sedikit sebanyak mengurangkan pemampatan margin dalam operasi pertengahannya.
Lebih-lebih lagi, kumpulan itu berkemungkinan besar menjana keuntungan pertukaran wang asing (forex) yang bermakna.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Press Metal dengan harga sasaran(TP)tidak berubah sebanyak RM6.21.
"Kami menjangkakan kumpulan itu akan mencatat pertumbuhan pendapatan selanjutnya pada FY26 berdasarkan harga aluminium yang stabil berikutan dasar monetari yang melonggarkan oleh bank pusat utama, harga alumina yang lembut dan peningkatan kapasiti daripada PT Bintan," katanya.- DagangNews.com