KUALA LUMPUR 29 Okt - Projek pembinaan Jambatan Batu Kawa Kedua membabitkan jalan berkembar sepanjang 5km, dijangka ditender pada awal tahun depan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meluluskan projek jambatan bernilai RM160 juta tersebut.
“Projek itu kini dalam peringkat pengambilan tanah dan reka bentuknya hampir siap.
“Ia akan sedia untuk ditender awal tahun depan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawa di sini Isnin.
Berdasarkan laporan sebelum ini, laluan berkembar baharu itu akan bermula dari persimpangan lampu isyarat Jalan Batu Kawa/Matang sedia ada, menyeberangi Sungai Sarawak ke persimpangan lampu isyarat Tan Sri Wee Boon Ping dan Jalan Stephen Yong.
Pada masa sama, Dr Sim yang juga ADUN Batu Kawah berkata Abang Johari telah meluluskan projek sambungan Jalan Stephen Yong bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di Kampung Segedup.
Pada masa ini, beliau berkata ramai pemandu menggunakan laluan alternatif di Kampung Segedup sebagai jalan pintas untuk perjalanan dari Batu Kawa ke Matang.
Sebelum ini dilaporkan projek sambungan Jalan Stephen Yong akan melibatkan pembinaan jalan penghubung sepanjang 3 kilometer dari lampu isyarat Jalan Stephen Yong melalui Segedup ke Matang. - DagangNews.com