KUALA LUMPUR 2 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah (MSM) berjulat antara RM4,500 dan RM5,000 bagi setiap tan pada suku pertama 2025.
Firma penyelidika itu berkeyakinan terhadap harga MSM pada suku pertama 2025, memetik permintaan kukuh didorong sambutan Tahun Baharu Cina pada akhir Januari 2025 dan permulaan Ramadan pada Mac ini.
Katanya, peristiwa itu dijangka bertepatan dengan kitaran keluaran rendah sektor berkenaan pada suku tersebut.
"Kehadiran fenomena La Nina yang berpotensi menimbulkan kebimbangan hujan berlebihan juga boleh mengganggu bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Walaupun begitu, firma peyelidikan itu mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor itu, menyokong strategi dagangan jangka pendek untuk suku pertama 2025.
Sehingga kini, harga MSM mencatatkan turun naik yang ketara, didagangkan serendah RM3,629 bagi setiap tan pada 3 Januari 2024 dan mencapai paras tertinggi RM5,327 setiap tan pada 5 Disember 2024, menandakan julat yang luas sebanyak RM1,700 setiap tan.
"Harga MSM mencecah paras tertinggi baharu sejak dua bulan lalu disebabkan oleh kekurangan bekalan semasa dan jangkaan pengetatan selanjutnya pada tahun pemasaran Oktober 2024 hingga September 2025.
"Ia sebahagiannya didorong keghairahan terhadap mandat biodiesel B40 Indonesia. Harga juga disokong oleh jangkaan permintaan berdaya tahan jangka pendek menjelang sanbutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan pada suku pertama 2025,” katanya.
Maybank IB berkata, harga MSM pada 2024 tidak menentu, terutamanya disebabkan kejutan bekalan yang berpunca daripada keluaran rendah yang tidak dijangka di Indonesia dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun itu.
Ia juga disebabkan tekanan biologi pokok dan kesan El Nino pada 2023, yang memberi kesan kepada kawasan ladang di selatan khatulistiwa. - DagangNews.com