Rangka kerja pengawalan berkaitan kelestarian berpotensi rangsang pembangunan pusat data baharu - BMI | DagangNews Skip to main content

Rangka kerja pengawalan berkaitan kelestarian berpotensi rangsang pembangunan pusat data baharu - BMI

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Okt - Pelaksanaan rangka kerja pengawalan yang berkaitan dengan kelestarian, berpotensi untuk merangsang pembangunan pusat data di kawasan selain Cyberjaya dan Johor, seperti Kedah, ketika pelabur mencari peluang baharu untuk pusat digital, menurut BMI.

 

BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions, percaya pendekatan itu boleh mencipta senario di mana kawasan yang sedang berkembang, mampu mendapat manfaat daripada limpahan permintaan daripada pasaran utama atau berkembang menjadi pusat digital baharu.

 

Namun, strategi terbabit memerlukan toleransi risiko yang lebih tinggi, kerana pelabur mungkin perlu melabur walaupun permintaan mungkin tidak muncul dengan segera di kawasan terlibat.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, BMI menyatakan bahawa Kedah mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan pasaran utama Malaysia sebelum menjadi tepu, menjadikannya pilihan menarik bagi pelabur.

 

Kedudukan strategik negeri itu membolehkannya memanfaatkan kabel dasar laut yang melalui Thailand Selatan iaitu sumber hubungan yang boleh digunakan oleh pusat data.

 

BMI juga menyatakan, firma ekuiti swasta hartanah, Area Group, telah memulakan pembinaan kampus pusat data di Kedah.

 

"Pelaburan ke kawasan ini datang di tengah-tengah kehadiran infrastruktur elektrik, air dan jaringan hubungan yang melebihi purata, sebagai langkah melindungi sebarang kemungkinan yang bertujuan menguatkuasakan standard berkaitan kelestarian bagi industri pusat data domestik.

 

"Ini mungkin menjadi faktor penyumbang kepada pergerakan pelaburan menjauhi sub-pasaran domestik yang tepu seperti Johor," katanya.

 

Fasa pertama kampus pusat data berkenaan dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM10.37 bilion di kawasan seluas 63 hektar dan apabila siap ia dianggarkan bernilai RM64.82 bilion.

 

Bagaimanapun, BMI masih percaya Johor akan terus menjadi pemimpin di Malaysia dari segi muatan teknologi maklumat (IT) (kuasa kritikal) yang akan datang, dengan kapasiti aktif sebanyak 268.5 megawatt (MW).

 

Terdapat kira-kira 507MW kapasiti yang sedang dibina, dan satu lagi 921MW dirancang untuk penghantaran dalam jangka panjang.

 

Namun, jelas BMI, banjir adalah risiko alam sekitar utama yang mengancam ketepatan masa dan implikasi kos projek dalam kawasan tersebut.- DagangNews.com