RHB Investment kekal saranan 'beli' ke atas AME-REIT, naikkan TP kepada RM1.57  | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal saranan 'beli' ke atas AME-REIT, naikkan TP kepada RM1.57 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' ke atas AME Real Estate Investment Trust (AME-REIT) dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.57 daripada RM1.53 sesaham.


 
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan AME-REIT pada 1HFY25 sejajar dengan jangkaannya disokong pertumbuhan stabil daripada pengambilalihan baharu dan kadar sewa positif.

 

RHB Investment melaporkan AME-REIT mencatat keuntungan sebanyak RM18 juta pada 1HFY25 dan mengumumkan pengagihan seunit (DPU) 1.87 sen, menjadikan jumlah sepanjang tahun ini (YTD) kepada 3.71 sen.

 

"Kami berpendapat peningkatan pendapatan AME-REIT didorong oleh peluang pertumbuhan organik dan bukan organik serta perancangan perkembangan baharu.

 

"Bagi suku-ke-suku (QoQ), pendapatan kumpulan meningkat 4% dibantu oleh kekosongan sementara pada suku sebelumnya. Penyewaan baru pada bulan Jun, menghasilkan tahap penghunian penuh sepanjang 2QFY25.

 

"Pendapatan tahun-ke-tahun (YoY) kumpulan pula meningkat 9% didorong oleh pemerolehan Plot 16 Indahpura pada Oktober 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Katanya, memandangkan kadar penghunian penuh, RHB Investment menjangkakan risiko penurunan kumpulan pada tahap minimum dan akan memberi peluang kepada REIT merekodkan kadar sewa yang lebih tinggi.

 

"REIT juga dalam proses memperoleh aset bernilai MYR120 juta, yang bakal menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan pada FY26.

 

"Kami meningkatkan ramalan pendapatan FY26 sehingga FY27 kami sebanyak 2% dan 3% selepas menyemak semula anggaran pemulangan sewa," katanya.- DagangNews.com