KUALA LUMPUR 1 Okt - Data daripada Bloomberg menunjukkan ringgit telah meningkat 14.35% berbanding dolar AS sejak tiga bulan lalu.
Peningkatan Ringgit mengatasi emas, yang meningkat sebanyak 14.2%, di tempat kedua. Data itu meliputi tempoh antara 27 Jun dan 27 Sept.
Ini menjadikan Ringgit sebagai matawang berprestasi terbaik dunia berbanding dolar AS, kata Lloyd Chan, penganalisis kanan di MUFG Bank kepada FMT.
Chan mengaitkan pemulihan kenaikan ringgit disebabkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kitaran penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan AS yang berterusan.
Jangkaan pasaran untuk lebih banyak pemotongan kadar AS sejak Julai telah mendorong kenaikan mendadak ringgit pada separuh kedua tahun ini.
Memandangkan ringgit adalah ‘murah’ pada penghujung separuh pertama tahun, ia menyediakan skop untuk peningkatan matawang itu.
Ringgit berpotensi mengukuh kepada rekod tertinggi lima tahun RM4 kepada dolar AS menjelang akhir tahun dengan syarat sentimen pasaran kekal positif terhadap mata wang Asia dan tertakluk kepada Lembaga Rizab Persekutuan AS mengurangkan kadar faedahnya sebanyak 50 mata asas.
Bagaimanapun, Chan memberi amaran bahawa pilihan raya presiden AS akan datang mungkin membawa sedikit ketidaktentuan ke dalam pasaran.
Pada 27 Sept, BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak semula unjuran ringgit akhir 2024 kepada RM4 setiap dolar AS, daripada RM4.55 sebelumnya.
BMI meramalkan bahawa ringgit akan mengukuh sebanyak 9% pada 2025, berpotensi mencecah RM3.55 setiap dolar AS menjelang akhir 2025.
Awal bulan ini, Bloomberg melaporkan bahawa ringgit mempunyai prestasi suku tahunan terbaik sejak 1973.
Pada 30 Sept 2024, ringgit ditutup pada RM4.12 kepada dolar AS — melantun semula daripada RM4.81 pada Februari 2024, penilaian kedua terbaik sejak Krisis Kewangan Asia pada 1997-1998. - DagangNews.com