Saham dan jualan syarikat tembakau dijangka terjejas akibat Akta 852 - CIMB Securities | DagangNews Skip to main content

Saham dan jualan syarikat tembakau dijangka terjejas akibat Akta 852 - CIMB Securities

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang telah mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024 dijangka akan memberikan kesan buruk kepada syarikat tembakau dan vape di Malaysia.

 

Penganalisis CIMB Securities, Yee Sin Seh berkata, jangkaan itu dibuat susulan penguatkuasaan Akta 852 yang mengenakan peraturan lebih ketat ke atas produk vape melalui gabungan langkah segera dan berperingkat seperti larangan penjualan dalam talian, mesin layan diri serta larangan iklan dan penajaan.

 

Selain itu, beliau berkata, Akta 852 turut mengehadkan had kandungan nikotin sebanyak 35 miligram (mg)/ mililiter (ml) akan dikurangkan lagi kepada 20 mg/ml bermula 1 Oktober 2025 serta had maksimum pada jumlah kartrij atau pod boleh guna sebanyak 3ml yang akan dikurangkan kepada 2ml bermula 1 Oktober 2026.

 

"Kami percaya peraturan baharu ini akan memberi kesan kepada syarikat utama seperti British American Tobacco (BAT) Malaysia," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Menjelaskan lebih lanjut, seorang lagi penganalisis CIMB Securities, Walter Aw Lik Hsin berkata, dengan penguatkuasaan akta itu, saluran jualan dan pemasaran produk vape akan dihadkan selain perlu melancarkan produk vape baharu memandangkan kebanyakan, jika tidak semua, produk vape mengandungi 30 mg/ml nikotin.

 

"Kegagalan untuk menangani perubahan ini dengan berkesan boleh memberi cabaran kepada kumpulan untuk meningkatkan sumbangan jualan daripada produk vape.

 

"BAT Malaysia menyasar untuk meningkatkan sumbangan jualan vape daripada sekitar 2% pada masa ini kepada sasaran 15% sehingga 30% bahagian hasil dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan BAT Malaysia meningkat 0.5% tahun ke tahun (YOY) pada suku ketiga 2024 (3Q24) disokong oleh peningkatan jualan vape.

 

Katanya, walaupun jumlah jualan dalam industri rokok sah mengalami penyusutan akibat penurunan bilangan perokok yang beralih kepada vape, ia menggalakkan pendapatan BAT Malaysia yang mencatat penjualan vape bagi sembilan bulan pertama 2024 penurunan lebih perlahan iaitu 0.8% YOY dan pendapatan 3Q24 meningkat sebanyak 0.5% YOY.

 

Prestasi itu terutamanya dibantu oleh peningkatan jualan vape selepas pelancaran perintis pada Julai 2023 diikuti dengan pelancaran pelbagai format atau variasi baharu pada Oktober 2023, November 2023 dan awal 2024, yang meningkatkan prestasi pendapatan keseluruhannya.

 

Dalam perkembangan lain, walaupun jualan rokok haram di Malaysia masih tinggi, ia mencatatkan penurunan marginal sebanyak 0.4% suku ke suku kepada 54.8% bagi 3Q24. - DagangNews.com