KUALA LUMPUR 22 Nov - SD Guthrie Bhd, yang dahulunya dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd, dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih mendatar bagi suku keempat 2024 (4QFY24) akibat pemulihan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih perlahan di ladang Indonesianya, kata penganalisis.
CIMB Securities berkata, pengeluaran BTS dijangka pulih sedikit di Indonesia pada 4Q2024 selepas penurunan 20% pada 9MFY24 akibat kesan El Niño.
"Operasi SD Guthrie di Papua New Guinea juga dijangka stabil berikutan hujan lebat awal tahun ini.
"Walaupun kumpulan itu menjangkakan pemulihan pengeluaran pada 4QFY24, Cimb Securities menjangkakan pengeluaran kekal di bawah paras tahun lalu.
"Namun begitu, harga minyak awit mentah (MSM) yang lebih tinggi boleh membantu mengimbangi kekurangan pengeluaran ini," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Dalam nota berasingan, Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, semak turun andaiannya berdasarkan keluaran BTS kumpulan yang berkemungkinan lebih daripada mengimbangi semakan menaik dalam andaian harga MSM.
Akibatnya, HLIB mengurangkan unjuran keuntungan bersih teras SD Guthrie FY24 sebanyak 7.4% kepada RM 1.31 bilion.
Bagaimanapun, HLIB menaikkan ramalan keuntungan bersih teras FY25 sehingga FY26 masing-masing sebanyak 14.3% dan 4.7% dengan mengambil kira andaian harga MSM yang lebih tinggi pada FY25 dan andaian keluaran BTS yang lebih tinggi pada FY24 sehingga FY25.
Pada 4QFY24, SD Guthrie menjangkakan margin hiliran yang lebih baik didorong oleh prestasi yang lebih baik di rantau Asia Pasifik.
Selain itu, SD Guthrie juga akan memperkenalkan segmen baharu dalam kewangan 4Q2024 untuk mencerminkan kepelbagaiannya ke dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dan segmen pembangunan perindustrian.
CIMB Securities mengekalkan saranan 'beli' ke atas SD Guthrie dengan harga sasaran (TP) RM5.50, manakala HLIB mengekalkan saranan 'pegang' dengan menaikkan TP kepada RM5.09 daripada RM4.46.
Memandang ke hadapan, SD Guthrie merancang untuk mengembangkan asas pendapatan berulangnya melalui pembangunan tanah perindustrian dan usaha niaga RE, yang dijangka mendapat momentum menjelang pertengahan 2025. - DagangNews.com