Sektor pembinaan diunjur terima aliran kontrak berterusan - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan diunjur terima aliran kontrak berterusan - RHB Investment

Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) yang meningkat lebih 30% setakat tahun setakat ini (YTD) diunjur berterusan dengan menerima lebih banyak aliran kontrak, kata RHB Investment - Gambar NAIM AZIZ/ Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt - RHB Investment Bank Bhd Research berkata, Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) yang meningkat lebih 30% setakat tahun setakat ini (YTD) diunjur berterusan dengan menerima lebih banyak aliran kontrak.

 

Indeks itu terdiri daripada 48 saham pembinaan dan mempunyai permodalan pasaran RM48.96 bilion pada 31 Mei 2024.

 

RHB Investment berpendapat sektor itu belum matang untuk pengambilan untung.

 

"Ini kerana kami menjangkakan aliran berita akan datang yang lebih mantap sehingga separuh pertama 2025 seperti tambahan infrastruktur air dan prospek industri.

 

"Ini termasuk penilaian maklum balas MRT3 selepas pemeriksaan awam dan keputusan kerajaan mengenai daya maju Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura menjelang akhir 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aliran kontrak YTD kerajaan telah melebihi had tahun lepas.

 

"Dalam sembilan bulan pertama 2024, kerajaan telah memberi peruntukkan sebanyak RM41 bilion kepada projek pembinaan,RM36.7 bilion pada tahun lepas. 

 

"Selain itu, peluang pekerjaan lain, khususnya dalam segmen industri harus kekal teguh," katanya dalam nota hari ini.

 

RHB Investment mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor pembinaan, dengan pilihan utamanya ialah Gamuda Bhd, Sunway Construction Group Bhd dan Kerjaya Prospek Group Bhd. 

 

Firma itu juga percaya infrastruktur berkaitan air bakal memberi peluang tambahan kepada kontraktor.

 

Projek-projek tersebut termasuk inisiatif tebatan banjir Sungai Damansara dan peruntukan RM4 billion bagi pengurusan air di Perak, yang melibatkan bekalan air terawat ke Pulau Pinang.

 

RHB Investment juga menekankan sokongan padu daripada subsektor perindustrian, dengan bilangan hartanah perindustrian dalam pembinaan meningkat kepada 621 pada separuh pertama 2024 berbanding 397 pada tahun lepas.

 

Katanya, nilai kontrak yang diberikan kepada subsektor bukan kediaman mencecah RM109 bilion dalam sembilan bulan pertama 2024, mengatasi jumlah keseluruhan tahun 2023 sebanyak RM83.5 bilion.- DagangNews.com