Sektor penerbangan Malaysia mengukuh pada 2024 dengan tambahan 12 syarikat baharu beroperasi di KLIA - MAHB | DagangNews Skip to main content

Sektor penerbangan Malaysia mengukuh pada 2024 dengan tambahan 12 syarikat baharu beroperasi di KLIA - MAHB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 Jan - Malaysia mencatatkan pertumbuhan pesat dalam sektor penerbangan pada tahun 2024, dengan penambahan 12 syarikat penerbangan baharu, sebanyak 16 laluan yang beroperasi semula dan 24 destinasi baharu. 

 

Antara 12 syarikat penerbangan baharu yang beroperasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Air Macau, Iraqi Airways, Turkmenistan Airlines, Cambodia Airways, Qingdao Airlines, AirAsia Cambodia, Loong Air dan Air India. 

 

Destinasi-destinasi baharu yang disambungkan ke KLIA pada tahun 2024 termasuk Almaty, Ashgabat, Baghdad, Chiang Rai, Lam Dong, Labuan Bajo, Jaipur, Nairobi, Nanjing dan Vientiane. 

 

Secara keseluruhan, sebanyak 73 syarikat penerbangan asing dan enam syarikat penerbangan tempatan (tidak termasuk penerbangan kargo) kini beroperasi ke 138 destinasi antarabangsa dan 31 destinasi domestik dalam rangkaian Malaysia Airports, mencerminkan pertumbuhan berterusan sektor penerbangan negara.

 

Menurut Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, prestasi yang memberangsangkan pada tahun 2024 menonjolkan usaha bersama Malaysia Airports, rakan penerbangan, agensi kerajaan dan industri pelancongan dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi utama. 

 

"Penambahan syarikat penerbangan dan destinasi baharu mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai hab pelancongan dan perjalanan perniagaan. 

 

"Pada 2025, kami berhasrat untuk mempertingkatkan lagi hubungan dengan memperkenalkan lebih 10 syarikat penerbangan baharu, memberi tumpuan kepada pasaran utama di Asia dan Eropah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, strategi itu akan membantu memacu pertumbuhan trafik ketika syarikat bersiap sedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, mengukuhkan komitmen untuk menghubungkan negara ke seluruh dunia dan menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar.

 

Pada 2024, rangkaian Malaysia Airports, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGA), mencatatkan lebih 135 juta pergerakan penumpang, mencapai 96.1% daripada paras 2019. 

 

Di Malaysia, lapangan-lapangan terbang mengendalikan 93.8 juta penumpang, mencapai 89.1% daripada paras pra-pandemik. 

 

Trafik antarabangsa terus mencatatkan peningkatan dengan 49.6 juta penumpang, atau 93.1% daripada angka 2019, walaupun menghadapi cabaran seperti kelewatan penghantaran pesawat dan gangguan dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikan pesawat (MRO). 

 

Sektor domestik juga kekal stabil, mencatatkan 44.2 juta penumpang, atau 85.1% daripada paras pra-pandemik. 

 

Bagi Disember 2024, trafik penumpang di lapangan terbang tempatan berjumlah 8.5 juta (4.7 juta antarabangsa dan 3.8 juta domestik), meningkat 11% berbanding bulan sebelumnya, didorong oleh cuti sekolah dan musim perayaan.

 

ISGA meneruskan trajektori pertumbuhannya pada tahun 2024, menyambut 41.9 juta penumpang, peningkatan 16.7% berbanding 2019. 

 

Perjalanan antarabangsa menjadi penyumbang utama, melebihi paras pra-pandemik sebanyak 55.8% dengan 22.2 juta penumpang. 

 

Trafik domestik mencatatkan 19.8 juta penumpang, mencapai 91.1% daripada paras 2019. 

 

Pada Disember 2024, lapangan terbang itu mencatatkan 3.6 juta penumpang, meningkat 3.4% berbanding bulan sebelumnya, dengan 2 juta penumpang antarabangsa dan 1.6 juta penumpang domestik. - DagangNews.com