KUALA LUMPUR 30 Okt - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) mensasarkan untuk mencapai pembiayaan lestari sebanyak RM10 bilion dan RM1 bilion bagi pembiayaan hijau menjelang 2030.
Pemangku Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pembiayaan lestari itu dipacu oleh pembiayaan bank yang inovatif terutamanya Dana Kelestarian yang dimandatkan kepada SME Bank seperti yang diumumkan pada Belanjawan 2025.
"Pelan ini akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif terutamanya Dana Kelestarian sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan kepada bank menerusi Belanjawan 2025," katanya dalam satu kenyataan.
Langkah itu dibuat ketika SME Bank melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 iaitu pelan tujuh tahun yang bertujuan menangani risiko berkaitan iklim, sejajar dengan matlamat kemampanan strategik jangka panjangnya.
Ketua Pegawai Kelestarian SME Bank, Zakiah Mat Esa berkata, perasmian pelan berkenaan menetapkan laluan yang jelas untuk perjalanan lestari dalam tiga fasa iaitu memberi tumpuan kepada penyesuaian terhadap keperluan kawal selia, menerajui penyepaduan amalan kelestarian ke dalam operasi bank dan peningkatan inisiatif kelestarian untuk impak dan kecekapan maksimum.
Hal itu menyokong matlamat SME Bank untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030, yang bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan penggunaan elektrik secara beransur ansur sepanjang tempoh tujuh tahun.
"Pelan Hala Tuju 2.0 memberi tumpuan kepada tujuh sasaran yang dikaitkan dengan tiga aspek kelestarian dan empat matlamat jangka panjang, memastikan pengawasan berterusan dalam menangani risiko berkaitan iklim," katanya.
Dengan permintaan yang kian melonjak untuk pembiayaan lestari dan inisiatif yang berteraskan amalan alam persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), SME Bank menawarkan rangkaian inisiatif hijau seperti pembiayaan hijau/peralihan untuk pelanggan yang layak, di mana sumber dananya adalah daripada Bank Negara Malaysia iaitu Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi & Hijau (HTG).
Selain itu, SME Bank juga menawarkan Skim Insentif Kelestarian (SIK) di bawah Belanjawan Negara 2023, di mana RM10 juta telah diperuntukkan untuk memudahkan pembinaan kapasiti perusahaan kecil, mikro & sederhana (PMKS) dalam mengamalkan prinsip ESG.
Sejajar dengan peranan SME Bank dalam menyediakan nilai melangkaui pembiayaan, SME Bank telah melatih lebih 1,508 PMKS di bawah SIK fasa 1 dari tempoh Julai 2023 – Jun 2024 melalui anak syarikatnya, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR).
Pada masa ini, SME Bank sedang melengkapkan fasa 2 yang bermula pada Januari 2024, di mana 330 daripada 1,508 peserta awal semakin mendalami kemahiran ESG merentasi pelbagai modul iaitu Penilaian Materialiti, Perakaunan Karbon dan membentuk Pelan Tindakan Lestari. - DagangNews.com