KUALA LUMPUR 20 Jan - Southern Score Builders Berhad memuktamadkan pengambilalihan 51% saham dalam SJEE Engineering Sdn. Bhd. (SJEE) dengan nilai pertimbangan tunai sebanyak RM23 juta.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, pengambilalihan syarikat pakar mekanikal dan elektrikal (M&E) dalam sektor teknologi tinggi dan pusat data itu, membolehkan kumpulan meneroka segmen pasaran baharu, mempelbagaikan aliran pendapatan dan mengukuhkan daya saing.
"Kini, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang M&E dalam sektor pusat data Malaysia yang sedang berkembang.
"Susulan projek pusat data bernilai RM73.5 juta yang dimenangi beberapa bulan lalu, buku pesanan SJEE kini berjumlah sekitar RM78 juta," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dengan sokongan dan sumber daripada SSBB, SJEE kini mampu mengambil projek M&E berskala lebih besar, terutamanya dalam sektor pusat data dan penjagaan kesihatan serta hospital.
"Buku tender SJEE kini berjumlah kira-kira RM513 juta. Dengan kepakaran yang terbukti serta rekod prestasi yang kukuh, kami yakin akan berkongsi lebih banyak berita baik pada masa depan untuk mengekalkan momentum positif ini," jelasnya.
Kontrak bernilai RM73.5 juta yang dimenangi oleh SJEE adalah kerja-kerja elektrik bagi sebuah pusat data yang terletak di Cyberjaya, melibatkan sebuah syarikat teknologi multinasional berpusat di Amerika Syarikat.
Ia juga merupakan projek pusat data ketujuh SJEE.
Pengambilalihan itu datang dengan jaminan keuntungan daripada vendor bahawa SJEE akan mencapai keuntungan selepas cukai (PAT) terkumpul sekurang-kurangnya RM15.0 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan.
Untuk tahun kewangan yang diaudit berakhir 31 Disember 2023, SJEE melaporkan PAT sebanyak RM5.2 juta dengan pendapatan sebanyak RM54.5 juta.
Oleh itu, pengambilalihan tersebut memberi nisbah harga kepada keuntungan (PE) sebanyak sembilan kali.
Yee Hin dalam pada itu berkata, selain prospek SJEE yang menjanjikan, pengambilalihan berkenaan turut memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan memandangkan nisbah PE yang menarik dan jaminan keuntungan yang dinyatakan.
"Secara keseluruhan, prospek untuk kumpulan terus cerah disokong oleh buku pesanan yang sihat untuk SSBB dan SJEE.
"Selepas penyempurnaan pengambilalihan ini, SSBB akan menyatukan sumbangan daripada SJEE bermula bulan ini (Januari 2025), yang merupakan suku ketiga bagi tahun kewangan kami yang sedang berjalan (FY25)," ujarnya.
Pengambilalihan itu juga membawa kerjasama lain kepada SSBB dengan memperkukuh dan memperluas keupayaan kumpulan untuk merangkumi kerja-kerja elektrik, yang kini diberikan kepada subkontraktor.
Ia akan meningkatkan kecekapan kos dan mengurangkan kebergantungan kepada subkontraktor untuk kerja-kerja elektrik.
Ditubuhkan pada 1992, SJEE adalah pakar M&E yang terlibat terutamanya dalam reka bentuk, pemasangan dan pengujian kerja-kerja elektrik.
SJEE mempunyai kepakaran yang kukuh dalam model maklumat bangunan (BIM), yang penting untuk industri teknologi tinggi dan projek pusat data.
Selain pusat data, SJEE turut melaksanakan projek M&E untuk bangunan kediaman bertingkat dan pembangunan bercampur, bangunan komersial, bangunan industri teknologi tinggi, kemudahan penjagaan kesihatan serta kemudahan farmaseutikal.
Dalam tempoh tiga tahun lepas, SJEE telah berjaya menyiapkan projek-projek bernilai hampir RM100 juta di seluruh Malaysia.
Pelanggan mereka yang pelbagai merangkumi industri seperti perisian dan pengkomputeran awan, teknologi, minyak dan gas, elektronik, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan.
Pada masa ini, SJEE aktif membida pelbagai projek, memenuhi keperluan syarikat multinasional dan tempatan. - DagangNews.com