Syarikat milik legenda badminton Lee Chong Wei raih RM80 juta jual tanah kepada Magma | DagangNews Skip to main content

Syarikat milik legenda badminton Lee Chong Wei raih RM80 juta jual tanah kepada Magma

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Sept - Skyload Express Sdn Bhd, syarikat 45 peratus milik legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akan melupuskan tanah pegangan pajak seluas 2.26 ekar di Persiaran Dutamas, Kuala Lumpur kepada Magma Group Bhd, syarikat yang disenaraikan di Pasaran Utama dengan harga RM80 juta.

 

Magma dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tanah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur itu telah mendapat kelulusan untuk dua menara 34 tingkat yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan dan ruang komersial.

 

Baki 55 peratus daripada Skyload dimiliki oleh Empire Solaris Sdn Bhd, yang seterusnya 80 peratus dikawal oleh pemegang saham utama dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Magma, Datuk Seri Lee Hock Seng.

 

Magma akan membayar tanah itu melalui wang tunai RM8 juta dan terbitan 120 juta saham biasa baharu kepada Skyload, bersama-sama dengan 47.71 juta saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus (RPS).

Sebanyak 120 juta saham itu akan diterbitkan pada 20.24 sen sesaham, manakala RPS akan diterbitkan pada RM1 sesaham.

 

Selepas selesai penjualan tanah, Chong Wei akan mempunyai kepentingan langsung sebanyak 2.48 peratus dalam Magma dan kepentingan tidak langsung sebanyak 11.89 peratus.

Hock Seng, sebaliknya, akan menyaksikan peningkatan dalam kawalan ekuitinya dengan kepentingan langsung dan tidak langsung masing-masing pada 11.31 peratus dan 17.04 peratus. - DagangNews.com