KUALA LUMPUR 8 Nov - Synergy House Bhd dijangka mencatatkan hasil yang lebih kukuh pada separuh kedua 2024 disokong peningkatan permintaan menjelang musim perayaan.
RHB Investment berkata, sebagai antara syarikat e-dagang perabot rentas sempadan terbesar di Malaysia, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik bagi mengembangkan bahagian pasarannya dibantu perkembangan pasaran beli-belah global dalam talian yang luas.
"Ia juga disokong oleh jangkaan tarif yang lebih tinggi ke atas produk buatan China dan jangkaan perbelanjaan pengguna yang bertambah baik di Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sebahagian besar pasaran kumpulan itu terkesan akibat pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun syarikat itu melindung nilai sebahagian besar daripada penghutangnya.
Katanya, kadar penghantaran menyusut berbanding kemuncaknya tetapi dijangka stabil dalam tempoh terdekat.
Inventori kos lebih rendah perlu diiktiraf pada separuh kedua 2024 kerana ia mungkin meningkatkan margin kumpulan.
"Kami percaya Synergy House terus melindung nilai tambang dan mata wang sambil melepaskan sebarang kos tambahan kepada pelanggan perniagaan-ke-pelanggan (B2C) mengikut keperluan.
"AS berpotensi memotong kadar semasa bagi meningkatkan perbelanjaan pengguna selain mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas barangan buatan China.
"Keadaan itu juga berpotensi memberi manfaat kepada pengimport Asia dan kumpulan itu berada pada kedudukan baik untuk merebut pasaran tambahan di AS," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi RM1.55 berbanding RM1.36 sesaham," katanya. - DagangNews.com