KUALA LUMPUR 27 Nov - Tan Chong Motor Holdings Bhd dijangka terus mencatatkan kerugian pada masa hadapan kesan permintaan produk yang lemah, persaingan sengit dalam pasaran automotif serta kelemahan tukaran mata wang asing.
Kenanga Research menganggarkan kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih lebih besar pada FY24 iaitu sebanyak RM192.1 juta berbanding RM102.6 juta dan sejumlah RM143.6 juta pada FY25 berbandung RM77.1 juta.
Firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek kumpulan itu kerana mereka hanya memegang kurang 1% daripada jumlah volum industry, kekurangan pelancaran produk baharu berbanding pesaingnya yang berjaya melancarkan model serba baharu.
"Tan Chong Motor juga tidak memiliki keupayaan untuk menaikkan harga jualan bagi menampung kenaikan kos pengeluaran terutamanya kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Kami mengurangkan harga sasaran (TP) sebanyak 27% kepada 44 sen berbanding 60 sen sesaham bagi mencerminkan jenama Nissan yang kurang popular berbanding jenama asing di dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu menyaksikan kerugian bersihnya meningkat kepada RM90.28 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (3QFY2024), daripada RM50.7 juta pada 3QFY2023. Ia mencatatkan kerugian bersih RM40.1 juta pada suku terdekat sebelumnya 2QFY24.
Ini menandakan suku kelapan berturut-turut kumpulan itu mencatatkan kerugian sejak 4QFY22.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan, cabaran dalam operasi automotif kumpulan mungkin berterusan disebabkan permintaan produk yang lemah dan persaingan yang semakin meningkat dalam pasaran automotif.
Katanya, pelancaran produk baharu, termasuk Nissan Kicks e-Power (dijadual dilancarkan pada 4Q24) dan pemasangan kontrak baharu dijangka boleh menjadi pemangkin kepada kumpulan.
"Tan Chong Motor akan mula mengeluarkan kenderaan di kilangnya di Malaysia untuk pasaran eksport Nissan, bermula pada suku keempat.
"Kami bagaimanapun mengekalkan ramalan kerugian kumpulan dengan penarafan "jual" pada harga sasaran (TP) 39 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com