Telegram, Tencent mulakan proses pelesenan operasi di Malaysia — MCMC | DagangNews Skip to main content

Telegram, Tencent mulakan proses pelesenan operasi di Malaysia — MCMC

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 26 Dis - Pembekal perkhidmatan Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses mendapatkan lesen yang diperlukan untuk mengendalikan platform mereka di Malaysia, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

 

MCMC berkata kedua-dua platform itu dijangka memenuhi keperluan untuk beroperasi di Malaysia tidak lama lagi.

 

“MCMC memuji kedua-dua Telegram dan Tencent atas komitmen mereka untuk mematuhi keperluan pelesenan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Suruhanjaya itu juga menggesa semua penyedia perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan supaya mengemukakan permohonan mereka sebelum tarikh akhir 31 Disember 2024.

 

“Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan tindakan kawal selia, yang semua pihak berminat untuk mengelak.

 

“SKMM juga komited untuk menyediakan bimbingan dan sokongan yang diperlukan kepada semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan berjalan lancar,” katanya.

 

Keperluan pelesenan, ditetapkan untuk berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan perlindungan pengguna serta mengukuhkan peraturan berhubung pemesejan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial.

 

Rangka kerja ini direka bentuk bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menggesa penyedia perkhidmatan melindungi pengguna, terutamanya kanak-kanak dan kumpulan yang terdedah.

 

Hasilnya, rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada keselamatan yang lebih baik, pengalaman pengguna yang lebih baik dan perlindungan yang dipertingkatkan terhadap kandungan berbahaya. - DagangNews.com