TikTok sertai CMCF sebagai Penyedia Perkhidmatan Teknologi, Media dan Digital | DagangNews Skip to main content

TikTok sertai CMCF sebagai Penyedia Perkhidmatan Teknologi, Media dan Digital

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Nov - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengumumkan penerimaan TikTok sebagai ahli terkini organisasi tersebut di bawah kategori baharu, iaitu Penyedia Teknologi, Media dan Perkhidmatan Digital.

 

Ini merupakan kali pertama platform video mudah alih pendek menyertai CMCF, susulan pindaan perlembagaan forum industri tersebut awal 2024.

 

Sebagai platform terkemuka dengan pangkalan pengguna global yang pelbagai, TikTok akan menyumbangkan wawasan bernilai mengenai landskap digital yang sentiasa berkembang, membolehkan forum memperkukuh lagi peranannya dalam melindungi pengguna dan menggalakkan kawal selia kendiri kandungan. 

 

TikTok akan bekerjasama dengan CMCF untuk membuka jalan bagi usaha kolaboratif dalam penggubalan polisi, penetapan standard industri dan promosi berterusan terhadap landskap media yang lebih selamat dan adil di Malaysia.

 

Penyertaan TikTok dalam keahlian CMCF menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk memupuk penciptaan dan pengedaran kandungan yang bertanggungjawab, memastikan agar ekosistem media digital kekal sejajar dengan standard tertinggi integriti, keselamatan dan kepercayaan pengguna.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima dan Pengerusi CMCF, Rafiq Razali berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen forum untuk membina ekosistem digital yang seimbang dan bertanggungjawab.

 

"Kami sangat berbesar hati menerima TikTok sebagai ahli dalam kategori Penyedia Teknologi, Media dan Perkhidmatan Digital. Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk membina ekosistem digital yang seimbang dan bertanggungjawab. 

 

"Penyertaan TikTok merupakan langkah penting ketika kami bekerjasama untuk membentuk polisi industri, memastikan kandungan yang bertanggungjawab dan meningkatkan kepercayaan dalam ruang digital demi manfaat pengguna di seluruh Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood menyifatkan, peranan aktif TikTok dalam menyokong kawal selia kendiri dalam industry sangat penting.

 

"Kami mengalu-alukan platform digital lain untuk menyertai kami, kerana penyertaan mereka memastikan dasar kandungan kami selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, mematuhi undang-undang negara dan memenuhi keperluan unik komuniti rakyat Malaysia," ujarnya. - DagangNews.com