KUALA LUMPUR 30 Okt – TM One, cabang rumusan perniagaan sektor perusahaan dan kerajaan TM, mengumumkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan kecekapan digital di Malaysia, melengkapkan pelajar dan tenaga pengajar dari kolej vokasional dan sekolah menengah dengan kemahiran digital yang selaras dengan piawaian industri.
Kerjasama itu, yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) KPM, menyasarkan bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, keselamatan siber dan penyelesaian pertanian pintar.
Inisiatif tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua pelajar dan pengajar, memastikan tenaga kerja yang dihasilkan di Malaysia bersedia untuk memenuhi permintaan ekonomi digital.
Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim berkata, beliau berbesar hati dapat bekerjasama dengan KPM untuk menyampaikan kepakaran industri dan infrastruktur digital demi memartabatkan ekosistem TVET di Malaysia.
"TM One akan menyokong pendidikan dan latihan praktikal berkenaan teknologi maju kepada pelajar dan pengajar, menyediakan mereka ke arah peluang-peluang kerjaya beraliran digital yang bakal ditempuh.
Ini sejajar dengan agenda transformasi negara dan aspirasi Digital Powerhouse TM untuk menggiatkan semula bakat dan ekosistem inovasi Malaysia untuk tenaga kerja yang celik digital dan berdaya saing di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama itu antara lain termasuk menempatkan tenaga pengajar ke industri untuk menambah baik kepakaran digital mereka, serta penciptaan bersama modul pembelajaran, sukatan pelajaran dan kurikulum berasaskan teknologi dan pendidikan telekomunikasi, mewujudkan rangka kerja pembangunan kemahiran yang mampan untuk masa hadapan.
Memanfaatkan ketersambungan TM di seluruh negara, TM One juga akan bekerjasama untuk meningkatkan infrastruktur digital KPM di institusi TVET, memupuk persekitaran pembelajaran moden melalui peningkatan rangkaian dan penyelesaian digital yang berkaitan.
Kerjasama berkenaan dijangka menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan celik digital, meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pelbagai sektor.
Melalui inisiatif itu, TM One dan KPM memastikan pelajar dan tenaga pengajar TVET bersedia dengan kemahiran dan pensijilan yang sesuai, menyediakan akses digital yang lebih besar kepada pelajar dari semua latar belakang dan membentuk Malaysia yang dinamik dan diperkasa secara digital. - DagangNews.com