Trafik penumpang udara cecah lapan juta pada November 2024, naik 15.8% disokong oleh pelancaran laluan baharu - MAVCOM | DagangNews Skip to main content

Trafik penumpang udara cecah lapan juta pada November 2024, naik 15.8% disokong oleh pelancaran laluan baharu - MAVCOM

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Sektor penerbangan Malaysia telah menyaksikan pemulihan dan pertumbuhan yang mampan, dengan trafik penumpang udara mencecah lapan juta penumpang pada November 2024, menandakan peningkatan kukuh 15.8% tahun ke tahun (YoY) berbanding November 2023.

 

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berkata, trafik penumpang pada November 2024 adalah konsisten dengan trend pemulihan yang dilihat sepanjang 2024.

 

"Pertumbuhan penumpang itu didorong terutamanya oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pelancaran laluan baharu dan kapasiti tempat duduk yang diperluaskan.

 

"Trafik penumpang udara domestik pada November 2024 meningkat sebanyak 10.9% tahun ke tahun kepada 3.8 juta penumpang, menyumbang 47.5% daripada jumlah trafik penumpang udara," katanya dala satu kenyataan, hari ini. 

 

Pada masa yang sama, trafik penumpang udara antarabangsa meningkat sebanyak 20.7% (YoY) kepada 4.2 juta penumpang pada November 2024.

 

Katanya, pertumbuhan itu diagihkan sama rata antara wilayah Asean dan bukan Asean, masing-masing menyumbang 2.1 juta penumpang.

 

Sementara itu, lapangan terbang utama di Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada November 2024 untuk laluan domestik dan antarabangsa, terutamanya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang yang mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada 42.1%.

 

Senarai itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (18.2%), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (13.2%), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (14.9%), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (8.1%), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (9.7%) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (12.8%).

 

Trafik penumpang terkumpul dari Januari hingga November 2024 berjumlah 88.3 juta penumpang, meletakkan Malaysia memenuhi unjuran trafik penumpang setahun penuh Mavcom sebanyak 97.6 juta penumpang.

 

Pengerusi Eksekutif Mavcom Datuk Seri Saripuddin Kasim yakin momentum ini akan berterusan tahun ini, sambil menambah suruhanjaya itu kekal komited untuk memupuk industri penerbangan yang mampan dan berdaya tahan yang menyokong pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kualiti perkhidmatan dan melindungi hak pengguna. - DagangNews.com