KUALA LUMPUR 24 Okt - Tune Protect dan bolttech menjalin kerjasama menawarkan Insurans Perjalanan AirAsia kepada pelanggan di Hong Kong yang menaiki penerbangan AirAsia.
Insurans itu boleh dibeli di laman web AirAsia dan Tune Protect AirAsia serta aplikasi mudah alih AirAsia Move, yang meliputi penumpang yang berlepas dari Hong Kong dengan semua penerbangan AirAsia.
AirAsia berperanan sebagai ejen korporat berlesen bagi bolttech Insurance untuk tawaran tersebut, manakala Tune Protect adalah pengurus program insurans bagi AirAsia.
Insurans tersebut menawarkan dua pelan, Lite Comprehensive dan Plus Comprehensive, yang merangkumi perlindungan untuk kemalangan peribadi, pembatalan perjalanan, kehilangan bagasi, kelewatan penerbangan dan Bantuan Perjalanan Seluruh Dunia 24 jam.
Kerjasama terbabit adalah sebahagian daripada strategi Tune Protect untuk memperluas tawarannya di seluruh rantau, menyediakan pilihan insurans perjalanan yang lebih mudah diakses.
Kerjasama dengan bolttech bertujuan untuk memenuhi keperluan pengembara di Hong Kong dengan menggabungkan pengetahuan pasaran tempatan bolttech dengan kemampuan insurans Tune Protect.
Satu ciri penting pelan itu adalah Jaminan Tepat Waktu, yang memberikan pampasan untuk kelewatan dua jam atau lebih dari waktu berlepas asal atau yang dijadualkan semula yang diberitahu oleh AirAsia.
Pengurus Besar Wilayah untuk Hong Kong & Taiwan di bolttech, Alister Musgrave berkata, pihaknya teruja memberikan perlindungan yang mudah dan ketenangan fikiran kepada pengembara Hong Kong melalui Insurans Perjalanan AirAsia.
"Kerjasama dengan Tune Protect menekankan komitmen kami untuk meningkatkan tawaran rakan kongsi kami dan memberikan lebih banyak pilihan, kemudahan dan pengalaman pelanggan yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect Re, Janet Chin menyifatkan, inisiatif itu meningkatkan tawaran perkhidmatan syarikat untuk pengembara Hong Kong, selaras dengan visi strategiknya untuk pengembangan serantau, menjadikan Tune Protect pemimpin dalam industri insurans perjalanan.
"Pengembangan strategik ini adalah kunci kepada matlamat kami untuk menjadi pemain global dalam sektor perjalanan.
"Kami berharap dapat meningkatkan pengalaman perjalanan tetamu AirAsia dengan memberikan perlindungan insurans yang komprehensif, memastikan ketenangan fikiran sepanjang perjalanan mereka," ujarnya. - DagangNews.com