KUALA LUMPUR 6 Jan - U Mobile menandatangani perjanjian dengan Felda, membolehkan syarikat telekomunikasi itu memainkan peranan penting dalam menyokong peralihan digital agensi kerajaan tersebut.
Sebagai permulaan, U Mobile akan melaksanakan rumusan jaringan hubungan bertaraf perusahaan ke semua pejabat dan cawangan Felda di seluruh negara.
Perkembangan berkenaan akan menyaksikan platform komunikasi tradisional Felda yang terdiri daripada talian tetap fizikal, dinaiktaraf kepada rumusan konvergen yang membolehkan tahap operasi dan kecekapan yang lebih tinggi serta keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik.
Penambahbaikan itu membolehkan individu yang bekerja di pejabat dan cawangan Felda di seluruh negara, mengakses panggilan suara atau data merentasi tiga peranti melalui satu nombor telefon.
Perubahan tersebut membawa pelbagai faedah kepada Felda dari segi kecekapan kos dengan menghapuskan keperluan talian telefon yang banyak serta peningkatan perkhidmatan pelanggan kerana kakitangan boleh menjawab panggilan tanpa perlu berada di meja mereka.
Selain itu, kebolehskalaan rumusan membenarkan Felda menambah sambungan untuk menampung keperluan perniagaan yang semakin bertambah, serta meningkatkan produktiviti.
Ketua Pegawai Maklumat U Mobile, Neil Tomkinson berkata, sebagai bakal penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia, U Mobile berbesar hati dapat memainkan peranan utama dalam peralihan digital Felda.
Katanya, rumusan hubungan itu hanyalah permulaan kepada perkongsian berterusan, di mana teknologi dan penyelesaian 5G akan menjadi kunci kepada kemajuan Felda.
"Felda adalah syarikat berkaitan kerajaan pertama yang mengguna pakai perkhidmatan kami.
"Kami berbangga menerima pengiktirafan ini dan tidak sabar untuk menyokong lebih banyak inisiatif yang menyumbang kepada pertumbuhan negara dalam tempoh terdekat," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Komunikasi Strategik Felda, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin pula berkata, pihaknya berbangga kerana U Mobile diumumkan sebagai penyedia rangkaian 5G kedua di Malaysia, satu pencapaian penting yang mencerminkan kepakaran dan komitmen dalam menyediakan teknologi terkini.
"Kerjasama bersama U Mobile yang telah mula terjalin sejak Hari Peneroka Felda 2024, menandakan langkah besar ke arah memperkasakan komuniti FELDA dengan rumusan digital yang inovatif.
"Dengan potensi 5G sebagai penyelesai masalah yang mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti, Felda yakin U Mobile akan memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam memenuhi keperluan komuniti kami," ujarnya.
Inisiatif berkenaan dilancarkan semasa Hari IT Felda pada awal Disember 2024 di Menara Felda.
Ia adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak tersebut semasa Hari Peneroka Felda pada bulan Julai 2024. - DagangNews.com