Untung bersih Bintulu Port dijangka melonjak 6.4% pada FY25 dibantu oleh kenaikan tarif 10% - AmInvestment  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bintulu Port dijangka melonjak 6.4% pada FY25 dibantu oleh kenaikan tarif 10% - AmInvestment 

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Perjanjian Operator Pelabuhan (POA) baharu bakal menaikkan tarif sebanyak 10% ke atas Bintulu Port yang mendorong kepada peningkatan sebanyak 6.4% dalam untung bersih kumpulan pada FY25, kata AmInvestment.

 

Bintulu Port Holdings Bhd mengendalikan pelabuhan kontena terbesar di Sarawak dan Sabah, dengan kapasiti untuk mengendalikan 500,000 unit bersamaan dua puluh kaki atau TEU kontena setahun.

 

Salah satu pelabuhan yang dikendalikannya ialah Pelabuhan Bintulu menerusi Bintulu Port Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings dan sebuah lagi ialah Pelabuhan Samalaju. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, tarif yang dikenakan di Pelabuhan Bintulu pada masa ini ialah RM207.50 setiap unit bersama dua puluh kaki (TEU) untuk kontena tempatan atau 38% di bawah paras yang dikenakan ke atas Pelabuhan Perindustrian Samalaju.

 

"Bintulu Port, melalui anak syarikat milik penuhnya, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) telah memeterai Perjanjian Interim ketiganya dengan Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) yang memberikan hak untuk mengendalikan pusat Pelabuhan itu dalam tempoh 12 bulan akan datang bermula  1 Januari hingga 31 Disember 2025.

 

“Ini susulan perjanjian interim kedua yang berakhir pada 31 Disember 2024.

 

“Lanjutan yang diberi oleh MoT kepada Bintulu Port untuk meneruskan operasi Pelabuhan itu sehingga akhir tahun 2025 memenuhi jangkaan kami," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Oleh itu, AmInvestment mengekalkan saranan "pegang" ke atas Bintulu Port dengan harga sasaran RM6.40 sesaham.   

 

“Walaupun kami berharap, kami tidak menafikan proses itu mengambil masa lebih lama daripada jangkaan kerana pusat pelabuhan masih belum diumumkan," katanya.- DagangNews.com