Untung bersih Bursa Malaysia diyakini naik sebanyak 39% kepada RM307 juta disokong oleh volum derivatif kukuh - CIMB Securities  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia diyakini naik sebanyak 39% kepada RM307 juta disokong oleh volum derivatif kukuh - CIMB Securities 

Gambar NAIM AZIZ/Dagangnews
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Keuntungan bersih Bursa Malaysia Bhd diunjur melonjak sekitar 37% sehingga 39% pada 2024 kepada RM302 juta hingga RM307 juta, walaupun pendapatan Bursa Malaysia mungkin merosot secara suku-ke-suku sepanjang tiga bulan terakhir, kata CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjurannya disokong oleh volum derivatif kukuh yang mampu membantu mengimbangi dagangan sekuriti yang lemah pada suku keempat. 

 

Bursa Malaysia akan mengumumkan keputusan kewangannya pada suku terakhir 2024 pada 27 Januari 2025.

 

"Purata nilai harian yang lebih rendah dalam segmen sekuriti pada suku keempat mencerminkan kebimbangan terhadap keputusan pilihan raya Amerika Syarikat dan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat. 

 

"Ini menyebabkan nisbah kos kepada pendapatan meningkat kepada 54%, daripada 45% pada suku sebelumnya," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

CIMB Securities mengekalkan panggilan "tahan" ke atas saham Bursa, disokong oleh pendapatan hadapan yang didagangkan sebanyak 22 kali ganda, melebihi purata sejarahnya dan lebih tinggi daripada purata rakan setaranya.

 

Saham Bursa Malaysia telah menyusut kira-kira 6% sejak permulaan 2025, selepas mencatatkan keuntungan 35% menjelang akhir 2024, apabila aktiviti dagangan melonjak dan bilangan tawaran awam permulaan (IPO) mencatat rekod tertinggi selepas hampir dua dekad.

 

Penganalisis, bagaimanapun, mempunyai pendapat berbeza sama ada pelabur perlu terus membeli saham Bursa Malaysia. 

 

CMB Securities berkata, saham Bursa Malaysia menerima lapan saranan "beli", sembilan saranan "tahan" dan tiada saranan "jual".

 

Selain itu, harga sasaran (TP) pada RM9.97, membayangkan potensi pulangan hampir 19% dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada harga terakhirnya, kata Bloomberg.

 

Bursa Malaysia juga boleh mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 22.1 sen sesaham, menjadikan jumlah untuk 2024 kepada 40.1 sen dan bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 106%, berdasarkan baki tunai RM436.3 juta pada akhir September 2024 dan ketiadaan pelaburan yang besar pada suku keempat.

 

“Kami mengunjurkan purata nilai dagangan harian sebanyak RM3.4 bilion, manakala nisbah kos kepada pendapatan adalah sekitar 48% pada 2025 disokong oleh pembaharuan dasar Malaysia yang berterusan dan pertumbuhan pendapatan korporat yang sihat sebanyak 8%," katanya. - DagangNews.com