KUALA LUMPUR 23 Okt - Yinson Production berjaya menyelesaikan penjualan 11.8% pegangan dalam Yinson Boronia Consortium Pte. Ltd., yang memiliki secara tidak langsung FPSO Anna Nery, kepada Kawasaki Kisen Kaisha Ltd. (K Line) melalui transaksi penjualan persendirian.
Penjualan itu, yang pertama kali diumumkan pada Julai 2020, diselesaikan pada 22 Oktober 2024 dengan jumlah nilai tunai sebanyak RM212.75 juta.
Ia susulan penerimaan akhir FPSO Anna Nery tahun lepas dan pembiayaan semula yang berjaya awal tahun ini, yang merupakan syarat penutupan penjualan.
K Line merupakan pelabur strategik kedua dalam FPSO Anna Nery, selepas Sumitomo Corporation (Sumitomo) yang memiliki pegangan ekuiti sebanyak 25%.
Dengan selesainya penjualan itu, Yinson Production mengekalkan pegangan ekuiti kawalan sekitar 63.2% dalam FPSO Anna Nery.
FPSO Anna Nery merupakan komponen penting dalam pemulihan ladang Marlim milik Petrobras di lembangan Campos, luar pesisir Brazil.
FPSO terbabit mencapai pengeluaran minyak pertama pada Mei 2023, dengan kapasiti pengeluaran 70,000 BOPD dan 142 MMSCFD, serta anggaran nilai kontrak sebanyak RM23.88 bilion untuk tempoh kontrak 25 tahun, sehingga 2048.
Penjualan itu mengukuhkan lagi kerjasama antara Yinson Production, Sumitomo, dan K Line.
Selain pegangan ekuiti mereka dalam FPSO Anna Nery, kedua-dua Sumitomo dan K Line merupakan sebahagian daripada konsortium yang memiliki 26% pegangan dalam FPSO John Agyekum Kufuor di Ghana.
Mengulas tentang kejayaan penutupan penjualan, Ketua Pegawai Kewangan Yinson Production, Markus Wenker berkata, pihaknya gembira menyambut K Line sebagai pemegang saham baharu dalam FPSO Anna Nery.
"Transaksi ini menandakan satu lagi pencapaian dalam kerjasama strategik kami yang telah lama terjalin dengan K Line dan mencerminkan pemahaman mendalam mereka tentang sektor ini, serta keyakinan mereka terhadap kecemerlangan Yinson Production sebagai pemilik dan pengendali FPSO bebas terkemuka di peringkat global.
"Kerjasama ini adalah strategi kami untuk mengoptimumkan kecekapan modal sambil terus mengembangkan platform kami, mencipta nilai signifikan untuk semua pihak berkepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan.
Pegawai Eksekutif Pengurusan K Line, Michitomo Iwashita pula berkata, beliau berbesar hati dapat menyertai projek FPSO Anna Nery.
"Dengan penuh bangga, kami mengambil langkah penting ini ke arah pertumbuhan dan pengembangan perniagaan kami, dan kerjasama kami dengan Yinson Production membina asas yang kukuh untuk mencapai hasil jangka panjang.
"Kami teruja dan komited untuk mencapai kejayaan bersama Yinson Production dalam projek ini," ujarnya. - DagangNews.com