Tesla batal rancangan perluasan di Asia Tenggara akibat gagal saingi EV China - Anwar | DagangNews Skip to main content

Tesla batal rancangan perluasan di Asia Tenggara akibat gagal saingi EV China - Anwar

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Keputusan Tesla Inc untuk membatalkan pembinaan kilang di Thailand, dan menilai semula rancangan perluasan perniagaan mereka di Asia Tenggara, disebabkan tidak mampu bersaing dengan EV dari China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Perdana Menteri berkata, ia bukan kerana tidak percaya terhadap persekitaran perniagaan rantau ini, khususnya di Malaysia.

 

Sebaliknya, kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, perkara itu adalah disebabkan syarikat Elon Musk itu sedang mengalami kerugian yang besar, dan tidak mampu bersaing dengan industri kenderaan elektrik (EV) China.

 

 

Namun katanya lagi, Malaysia tidak begitu terjejas dengan keputusan Tesla, kerana berdasarkan laporan sebelum ini, syarikat itu hanya merancang meningkatkan pelaburan di negara ini, berbanding perancangan lebih besar di Thailand iaitu membuka hab kilang pembuatan EV.

 

“Tengku Zafrul (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri) telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.

 

"Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Jadi itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya lagi.

 

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara pada Jumaat, menurut laporan Astro Awani.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Tesla tidak pernah buat komitmen buka kilang di Malaysia - Tengku Zafrul

 

 

parafrasa

 

 

Sebelum ini portal The Nation dari Thailand melaporkan pembatalan rancangan untuk membangunkan kilang pembuatan EV di Thailand dan akan memberi tumpuan semata-mata kepada stesen pengecasan pantas.

 

Memetik sumber di Government House, Thailand, potal itu berkata, keputusan tersebut susulan pemberhentian pasukan eksekutif Tesla yang melawat Thailand pada November-Disember. - DagangNews.com