Texchem rekod peningkatan untung bersih sebanyak 169.2% kepada RM22.2 juta | DagangNews Skip to main content

Texchem rekod peningkatan untung bersih sebanyak 169.2% kepada RM22.2 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Okt - Untung bersih Texchem Resources Berhad bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3QFY22) meningkat 169.2% kepada RM22.2 juta berbanding RM8.2 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil Texchem meningkat 19.9% dari tahun ke tahun kepada RM282.6 juta daripada RM235.6 juta pada 3QFY21

 

Bagi tempoh sembilan bulan 2022, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM891.5 juta, peningkatan sebanyak 16.8% berbanding RM763.5 juta tahun lalu.

 

Prestasi kewangan yang kukuh itu mencerminkan hasil kejayaan kumpulan menambah baik pengurusan kos dan kecekapan operasi.

 

Pengerusi Eksekutif Texchem, Tan Sri Dr. Fumihiko Konishi berkata, walaupun berhadapan cabaran operasi global, kumpulan itu berjaya mencapai prestasi membanggakan pada suku tersebut.

 

"Bahagian perindustrian telah terjejas oleh permintaan yang lebih lemah akibat pelarasan inventori oleh pelanggan, bahagian kejuruteraan polimer, makanan dan restoran semuanya menunjukkan prestasi yang lebih baik hasil daripada tumpuan yang lebih baik pada keuntungan dan kecekapan operasi.

 

"Kumpulan ini akan lebih berhati-hati dalam melaksanakan pelan strategik dan kami akan memanfaatkan rekod prestasi serta pengalaman yang dimiliki untuk menghadapi sebarang cabaran," katanya.

 

Lembaga pengarah syarikat itu mengumumkan pemberian dividen interim sebanyak 8 sen sesaham untuk tahu kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com