KUALA LUMPUR 18 Julai - Pasar raya TF Value Mart mampu menjimatkan RM132.6 juta dalam tempoh 25 tahun dengan melaksanakan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) di seluruh cawangannya di seluruh negara.
Syarikat pasar raya besar itu yang mempunyai 47 cawangan sedang melaksanakan inisiatif kemampanan itu dengan Plus Xnergy.
Dalam satu kenyataan, ia berkata, pemasangan panel solar atas bumbung itu akan dipasang di 23 cawangan termasuk di Balik Pulau, Kuala Kangsar, Ipoh, Port Dickson, Taiping dan Tanjung Malim.
Anggaran penjimatan sebanyak RM132.6 juta akan dicapai melalui penjanaan tenaga boleh diperbaharui tahunan sebanyak 8,09 juta kWj, atau RM5.3 juta setahun.
Ini bersamaan dengan mengimbangi 3.93 juta tan metrik pelepasan karbon dioksida dalam tempoh 25 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif TF Value, Ho Mun Hao berkata, dalam jangka pendek, matlamat pihaknya adalah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan kos operasi melalui penggunaan tenaga solar.
"Bagi jangka panjang, kami menyasarkan untuk terus meneroka dan melaksanakan penyelesaian tenaga inovatif untuk mengurangkan lagi jejak karbon kami sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau untuk komuniti.
"Dengan hasil yang jelas daripada projek pemasangan solar terdahulu di kedai kami di Muar, Gerik, dan Bera, kami telah memulakan usaha berskala besar ini untuk menampung 23 kedai dan yakin dengan hasilnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mun Hao berkata, syarikat itu mempunyai tiga sumber utama penggunaan tenaga, dengan penyaman udara menggunakan jumlah tertinggi iaitu 65% daripada jumlah penggunaan tenaganya, diikuti pencahayaan pada 19% dan penyejukan pada 16%.
"Adalah penting untuk kami menguruskan penggunaan kami di seluruh kawasan ini, dan menyesuaikan penyelesaian RE menyumbang dengan ketara kepada kecekapan pengurusan tenaga kami," jelasnya.
Selain itu, kata beliau, TF Value akan memperkenalkan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) yang merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat terhadap kemampanan dan memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang.
"Walaupun permintaan semasa mungkin sederhana, kami menjangkakan minat yang semakin meningkat dalam kenderaan elektrik dan mahu menjadi proaktif dalam menyokong peralihan ini.
"Dengan menyediakan kemudahan pengecasan EV, kami menyasarkan untuk menggalakkan penggunaan pilihan pengangkutan yang lebih bersih dalam komuniti kami," ujarnya.
Menurut Mun Hao, syarikat itu menyasarkan untuk menyediakan stesen pengecas EV di empat cawangannya di Tambun, Raub, Nusa Bestari dan Gua Musang. - DagangNews.com