TH sumbang van serba guna kepada Pondok Fii Dzilalil Qu’ran di Kota Belud | DagangNews Skip to main content

TH sumbang van serba guna kepada Pondok Fii Dzilalil Qu’ran di Kota Belud

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan sebuah van serba guna kepada Pondok Fii Dzilalil Qu’ran kegunaan harian selaras dengan Program Mobiliti TH.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan van serbaguna itu antara lain bertujuan memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan juga fardhu ain terutama ahli kariah di masjid-masjid yang memerlukan di luar bandar. 

 

“Saya berharap pengurusan Pondok Fii Dzilallil Qu’ran dapat mengambil manfaat daripada sumbangan ini dan memastikan ia digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pelajar setiap hari. 

 

"Semoga sumbangan ini dapat sedikit sebanyak memudahkan urusan pelajar-pelajar tahfiz di Pondok Fii Dzilalil Qu’ran," katanya selepas menyempurnakan Majlis Serahan Van Program Mobiliti TH di Kota Belud, hari ini.   

 

Program yang bermula pada 2016 itu adalah bagi memberi sumbangan kenderaan van pelbagai guna kepada masjid-masjid dan surau yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga sebagai van penumpang. 

 

Pada 2021, program itu diperluaskan ke pusat tahfiz, badan dan rumah kebajikan terpilih di Sabah dan Sarawak juga.

 

th

 

Pada tahun ini, TH memperuntukkan sebanyak RM5.4 juta untuk Program Mobiliti dengan 40 unit van yang akan disumbangkan kepada institusi terpilih.

 

TH telah menyumbang sebanyak 96 unit van serbaguna dan memberi manfaat kepada lebih daripada 300,000 ahli kariah di seluruh negara sejak diperkenalkan enam tahun lalu.

 

Pada tahun ini (tahun kewangan berakhir 2021), TH telah membayar zakat sebanyak RM101 juta kepada Majlis Agama Islam Negeri dan Pusat Zakat Negeri di seluruh negara.

 

Selain pembayaran zakat, TH turut melaksanakan Program zakat TH yang memberi sumbangan secara terus kepada asnaf-asnaf terpilih antaranya melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, kemasyarakatan, dan kesihatan serta keusahawanan. - DagangNews.com