Thong Guan mahu wujudkan kerjasama dengan rakan pengedar untuk teroka pasaran AS | DagangNews Skip to main content

Thong Guan mahu wujudkan kerjasama dengan rakan pengedar untuk teroka pasaran AS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - CGS-CIMB Research mendedahkan bahawa Thong Guan Industries Berhad menerima jemputan daripada rakan pengedarannya di Amerika Syarikat (AS) untuk mewujudkan jalinan kerjasama bagi menghasilkan filem pembungkusan di wilayah barat negara itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, lembaga pengarah syarikat juga sudah memberikan kebenaran kepada Thong Guan untuk meneroka kemungkinan jalinan kerjasama bagi memenuhi permintaan pasaran di negara itu.

 

Sebagai kuasa besar ekonomi dunia, AS merupakan pengguna terbesar filem pembungkusan berbanding negara lain dan syarikat itu memberitahu, negara itu menggunakan hampir 1.2 juta tan setahun tetapi kumpulan itu hanya menghasilkan 78,000 tan filem setahun.

 

"Menurut Thong Guan, pasaran AS sukar untuk ditembusi kerana pengedaran filem pembungkusan hanya untuk mereka yang dikenali sahaja.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu menyatakan mereka berjaya masuk ke dalam pasaran itu selaku pengedar kelas atasan pada 2021 selepas menampilkan produk berkualiti tinggi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu positif dengan cadangan itu terutama selepas pendapatan kumpulan itu berkembang dengan baik bagi FY2016 hingga FY2020 selepas memasuki pasaran Eropah manakala pasa AS hanya menyumbang RM25.7 juta pada FY2020.

 

thog

 

Katanya, Thong Guan merancang untuk menubuhkan sebuah lagi kilang pengeluaran pada hujung 1Q2022F manakala pembinaan unit pengeluaran beg kurier siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu perlu berhati-hati terhadap krisis Rusia-Ukraine kerana ia bakal mewujudkan risiko kepada margin keuntungan, kos bahan mentah dan permintaan terhadap produk Thong Guan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham-saham Thong Guang dengan harga RM5.70 berbanding RM4.54 sebelum ini dan difahamkan mereka akan meningkatkan harga jualan untuk mengatasi peningkatan harga resin pada FY2022F seperti yang dilakukan pada tahun lalu," katanya. - DagangNews.com