Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3 peratus | DagangNews Skip to main content

Tiada kenaikan, BNM kekalkan OPR pada kadar 3 peratus

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia hari ini membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

 

Dalam kenyataan hari ini, BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa inflasi dan pertumbuhan.

 

Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.

 

"Perdagangan global dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan. Inflasi teras dan inflasi utama global terus mencatatkan peurunan dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan beberapa bank pusat memulakan pelonggaran dasar monetari.

 

"Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan ketidakstabilan dalam pasaran kewangan global," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jawatankuasa itu berkata, bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku kedua 2024, didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.

 

Katanya, pada masa hadapan, momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong oleh kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.

 

Katanya, aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

 

"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

 

"Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu," katanya.

 

BNM berkata, inflasi utama dan inflasi teras purata 1.8% dalam lima bulan pertama tahun itu dan seperti dijangka, inflasi akan meningkat pada separuh kedua 2024, di tengah-tengah rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.

 

Namun begitu, peningkatan dalam inflasi akan kekal terkawal memandangkan langkah-langkah mitigasi untuk meminimumkan kesan kos ke atas perniagaan

 

Sementara itu, ringgit terus didorong oleh faktor luaran, iaitu jangkaan laluan dasar monetari ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

 

Impak positif daripada inisiatif yang diselaraskan oleh kerajaan dan BNM dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) serta penglibatan korporat terus mengurangkan tekanan terhadap ringgit.

 

"Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

 

"MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," katanya. - DagangNews.com