Tiada perbincangan dengan kerajaan mengenai penyatuan transaksi menggunakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional - MyEG Services | DagangNews Skip to main content

Tiada perbincangan dengan kerajaan mengenai penyatuan transaksi menggunakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional - MyEG Services

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - MyEG Services Berhad menjelaskan bahawa mereka tidak mengadakan sebarang pertemuan dengan kerajaan di Putrajaya mengenai penumpuan semua transaksi imigresen di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

 

"Lembaga pengarah syarikat ingin menjelaskan bahawa syarikat itu tidak mengadakan sebarang mesyuarat sama ada dengan Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Imigresen Malaysia mengenai hasrat untuk menyatukan semua transaksi imigresen di bawah NIISe," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Sistem NIISe, yang kini dibangunkan oleh Iris Corp Berhad akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMS) semasa yang telah digunakan oleh jabatan itu kira-kira 13 tahun.
 

“Lembaga pengarah akan mengeluarkan pengumuman yang diperlukan tepat pada masanya kepada Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya terdapat sebarang maklumat penting yang termasuk di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” katanya.

 

Saham MyEG mengalami tekanan jualan dalam perdagangan pagi berikutan laporan berita bahawa kerajaan berhasrat untuk menggabungkan semua perkhidmatan dan proses imigresen, termasuk pembaharuan pasport, permohonan visa dan permohonan serta pembaharuan permit untuk pekerja asing di bawah NIISe menjelang 2025.

 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dipetik NST sebagai berkata bahawa Kementerian Dalam Negeri telah memperuntukkan RM900 juta untuk pelancaran NIISe dalam tempoh dua tahun dan sistem baharu itu dijangka membantu meningkatkan kecekapan jabatan.

 

Saham MyEG susut pada pembukaan pasaran kepada 65.5 sen pada hari ini, turun 30 sen atau 31.41% daripada penutupan Jumaat lepas.

 

MyEG merupakan saham paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia, dengan 795.01 juta saham bertukar tangan setakat 3.39 petang.

 

Sejurus selepas pembukaan pasaran pada Selasa, Bursa Securities menggantung jualan pendek saham untuk sepanjang hari di bawah dagangan hari proprietari dan jualan pendek, selepas saham turun lebih daripada 15 sen atau 15% daripada harga rujukannya. - DagangNews.com