Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Prospek Genting Malaysia Berhad (GENM) sebagai saham pemulihan COVID-19 untuk tempoh jangka masa panjang dilihat kekal kukuh.
Disebabkan itu, penganalisis di HLIB Retail Research, Ng Jun Sheng mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) pada kadar RM3.28 sesaham.
“Melangkah ke hadapan, walaupun kami menjangkakan perolehan jangka masa terdekat ini kekal tidak menentu, namun prospek GENM dijangka bertambah baik dipacu oleh pemulihan eksponen apabila kes COVID-19 di Malaysia berjaya dikawal.
“...ini berdasarkan status vaksinasi yang meyakinkan (kadar vaksinasi penduduk dewasa sekitar 88% pada 3 Oktober 2021) dan jangkaan sekatan perjalanan dibuka semula seawal November depan,” kata Jun Sheng dalam satu nota teknikal, hari ini.
Sebagai rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mencadangkan untuk membuka lebih banyak destinasi pelancongan kepada rakyat Malaysia selain membenarkan perjalanan rentas negeri apabila sekurang-kurangnya 90% penduduk dewasa menerima suntikan vaksin lengkap.
Secara keseluruhannya, pasaran cenderung untuk menilai saham GENM menjangkaui suku ketiga 2021 (3Q21) dan bersedia untuk lonjakan semula pada 4Q21, dipacu oleh pembukaan semula Resort World Genting (RWG) berkuatkuasa 1 Oktober 2021.
Dalam masa sama, kata Jun Sheng, taman tema Genting SkyWorlds juga berkemungkinan dibuka pada Disember 2021, serentak dengan cuti sekolah selain lonjakan semula perolehan kukuh untuk operasi Genting di Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Dari segi teknikal, selepas harga saham GENM melonjak daripada RM2.69 kepada paras tertinggi RM3.19 pada 7 September lalu, harganya telah menyusut 6.2% untuk ditutup pada kadar RM2.99 pada Jumaat lalu.
Jun Sheng menjangkakan GENM akan mencecah paras sokongan dalam zon RM2.90 hingga RM2.99 memandangkan para pelabur terus mengambil kira tema pemulihan dalam sektor perjudian dan pelancongan.
“Secara teknikal, harga saham GENM sedang menunggu untuk melepasi paras segi tiga simetri.
“Sekiranya saham itu berjaya melepasi melepasi paras rintangan iaitu RM3.16, ia akan melonjakkan harga saham kepada paras RM3.19-RM3.31-RM3.42,” tambah Jun Sheng.
Ketika laporan ditulis, harga saham GENM diniagakan pada kadar RM3.03 sesaham, menokok 4 sen daripada paras penutupan Jumaat lalu. - DagangNews.com