Tidak jemu ikuti kursus keusahawanan rahsia kejayaan pengusaha kek lapis Sarawak Rosita di Bota | DagangNews Skip to main content

Tidak jemu ikuti kursus keusahawanan rahsia kejayaan pengusaha kek lapis Sarawak Rosita di Bota

Mimi Rosita (kanan) bersama anaknya, Mohd. Del Alif di hadapan premis mereka yang terletak di Jalan Besar Bota Kanan, Perak.
oleh ZAKI SALLEH

BOTA 1 Ogos -  Menjadi satu-satunya pengusaha kek lapis Sarawak di pekan Bota Kanan dekat sini bukanlah perjalanan mudah bagi Mimi Rosita @Saadiah Naramu, 59.

 

Bemula secara kecil-kecilan 15 tahun lalu, kini kek lapis air tangan wanita berasal dari Sibu, Sarawak itu dicari pelanggan termasuk dari luar negeri Perak kerana rasanya yang sedap.

 

Menggunakan jenama Rosita, terdapat 12 jenis kek lapis yang dihasilkan seperti kek lapis Original, kek lapis Mimipine, kek lapis Kenyalang, kek lapis Oren Strawberi dan kek lapis Pandan Cheese.

 

Menceritakan perjalanan usahanya itu, kata Mimi Rosita, disebabkan tiada pengalaman maka dia tidak jemu mengikuti kursus dan seminar keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan. Antaranya yang dianjurkan oleh FAMA, MARA, Jabatan Pertanian dan SME Corp.

 

Tujuannya adalah bagi memudahkan untuk mendapatkan pelabelan, jaringan, bantuan, penjenamaan dan sebagainya. 

 

"Saya mula menjalankan perniagaan dari dapur rumah pada tahun 2007. 

 

"Sejak awal lagi semasa menetap di sini mengikut suami yang bersara dari tentera, saya berniat nak promosi kek lapis Sarawak di sini.

 

"Selain minat, mulanya sekadar ingin membantu pendapatan keluarga. Di samping membuka gerai makan saya beranikan diri membuat kek lapis Sarawak," ujarnya kepada DagangNews.com.

 

 

zaki
Kek lapis Rosita dihasilkan menggunakan cara sama sepertimana kek lapis Sarawak.

 


Beliau juga giat mempromosikan kek lapis dengan menyertai pelbagai ekspo dan pameran jualan keusahawanan termasuk di luar Perak.

 

Usaha gigih Mimi Rosita ternyata tidak sia-sia apabila beliau diangkat sebagai Peladang Jaya Wanita Perak 2017 manakala jualan kek lapis pula mencecah lima angka sebulan.


 

zaki

 

zaki

 


Kini beliau mempunyai sebuah kedai kecil di Jalan Besar Bota Kanan dengan operasi pemasaran dan pengurusan dibantu anaknya, Mohd. Del Alif Shamsudin, 35.

 

Mohd. Del Alif yang memiliki pengalaman lebih 18 tahun dalam bidang perhotelan banyak membantu ibunya menyiapkan kek, malah mahir membuat kek lapis Sarawak.

 

 

zaki
Mohd. Del Alif menggunakan mesin untuk memotong kek lapis bagi mendapatkan potongan yang sekata.

 

 

Terbaru, kek lapis citarasa Sarawak Mimi Rosita tersenarai sebagai produk makanan untuk dijadikan tarikan pelancongan ke Bota oleh Majlis Daerah Perak Tengah. -
DagangNews.com