Tidak perlu GST atau cukai baru, kata Institut Akauntan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tidak perlu GST atau cukai baru, kata Institut Akauntan Malaysia

KUALA LUMPUR 21 April  -  Kerajaan boleh meningkatkan kutipan cukai tanpa menggunakan cukai tambahan atau memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan mengawal selia ekonomi bayangan dan menambah baik pentadbiran cukai.

 

Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Dr Veerinderjeet Singh berkata, dengan menangani ketidakpatuhan cukai dan ketidakcekapan sistemik, kerajaan tidak perlu melaksanakan cukai baharu seperti cukai keuntungan modal dan cukai kekayaan atau memperkenalkan semula GST.

 

Dr Veerinderjeet Singh
Dr Veerinderjeet Singh

 

“Tiada cukai lain yang perlu dilaksanakan sehingga kita mencapai status negara berpendapatan tinggi dan sangat maju,” katanya semasa sesi panel pada Persidangan Cukai Malaysia 2021 baru-baru ini anjuran MIA dan Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, lapor Bernama.

 

Veerinderjeet berkata ekonomi bayangan atau ekonomi tidak formal bersamaan dengan kira-kira satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan dengan mengawal selianya, ia boleh menjana ratusan juta dalam hasil cukai.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan ini memerlukan penguatkuasaan yang lebih mantap untuk meningkatkan pematuhan cukai.  

 

Veerinderjeet berkata mengubah pentadbiran cukai melalui pendigitalan dan penggunaan teknologi, seperti penerapan analisis data, adalah penting untuk meningkatkan operasi dan penguatkuasaan cukai. - DagangNews.com