Tiong Nam harap pengurangan kadar cukai korporat dalam Bajet 2023 | DagangNews Skip to main content

Tiong Nam harap pengurangan kadar cukai korporat dalam Bajet 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Okt - Penyedia perkhidmatan logistik dan pergudangan bersepadu, Tiong Nam Logistics Holdings Berhad berharap kerajaan akan mengurangkan kadar korporat di bawah kadar 24% dalam Bajet 2023 bagi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

 

Pengarah Urusannya, Ong Yoong Nyock berkata, buat masa sekarang, negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia memiliki kadar cukai yang lebih kompetitif antara 17% hingga 22%.

 

"Pengurangan cukai korporat membolehkan perniagaan meraih lebih keuntungan untuk pelaburan semula ke dalam operasi serta inovasi, manakala peningkatan pelaburan asing juga akan memberi manfaat kepada industri logistik.

 

"Pada masa sama, kami berharap bayaran balik cukai terlebih bayar dapat disegerakan bagi membantu meningkatkan keupayaan perniagaan bagi mengurus aliran tunai dan memperuntukkan modal dengan lebih cekap," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Yoong Nyock juga berharap, kerajaan akan meningkatkan pemberian geran dan insentif cukai untuk pengembangan serta pelaburan perniagaan yang akan membantu merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi dan kemajuan teknologi.

 

Katanya, ia merangkumi insentif tambahan bagi pelaburan untuk aset hijau yang mampan.

 

bajet

 

"Sebagai contoh, Tiong Nam sedang membina gudang baharu bernilai RM200 juta untuk Pusat Logistik Serantau Mercedes-Benz yang dijadualkan beroperasi pada 2024 yang akan dinilai di bawah Indeks Bangunan Hijau dan layak untuk insentif cukai hijau.

 

"Insentif seperti itu menarik lebih banyak minat pelabur domestik dan multinasional, mempercepatkan pertumbuhan pelaburan mampan di negara ini," katanya.


 
Pada masa sama, beliau berharap, garis panduan yang lebih jelas tentang layanan yang terpakai untuk barangan dan perkhidmatan bercukai khususnya sektor logistik dan penghantaran.

 

Katanya, ia akan membantu mengelakkan isu komplikasi perakaunan di bawah peruntukan cukai dan menjadikan keseluruhan proses lebih cekap. - DagangNews.com