TM bimbang potensi kelembapan segmen komersial, kesan prospek ekonomi tidak menentu - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

TM bimbang potensi kelembapan segmen komersial, kesan prospek ekonomi tidak menentu - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) bimbang terhadap potensi kelembapan dalam segmen komersial didorong prospek ekonomi global yang tidak menentu.

 

Kenanga Research berkata, sebagai usaha mengurangkan kesan, kumpulan itu akan meningkatkan usaha bagi mengukuhkan aliran hasil daripada kedua-dua segmen unifi dan pemborongnya.

 

Firma itu berkata, ia akan didorong oleh kempen jualan yang agresif, program pengekalan dan promosi yang meletakkan kumpulan itu sebagai penyedia infrastruktur rangkaian pilihan negara.

 

"Bagi menyokong perniagaan borong serantau, kumpulan itu telah memperoleh penyedia digital Asia Utara dan pemproses data yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), menjadikannya penyedia perkhidmatan pilihan untuk perkhidmatan data antarabangsa di rantau ASEAN," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM1.14 bilion FY22 berbanding RM895.21 juta yang dicapai pada FY21,  berikutan keuntungan operasi yang lebih tinggi dan kos pembiayaan yang lebih rendah.

 

Hasil meningkat kepada RM12.12 bilion pada FY22 daripada RM11.53 bilion sebelumnya.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga akan berdepan prospek pendapatan tidak menentu.

 

Selain cabaran makroekonomi, firma itu berkata, kumpulan itu akan menghadapi risiko kawal selia manakala syarat pelancaran 5G hanya akan dimuktamadkan menjelang Mac 2023.

 

"Begitu juga, impak Standard Mandatori dan Harga Capaian (MSAP) baharu bergantung pada terma komersial terakhir yang sedang dirundingkan dengan syarikat telekomunikasi lain.

 

"Rundingan itu mungkin akan dimuktamadkan pada separuh pertama 2023," katanya.

 

Firma itu megekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM7.69 sesaham. - DagangNews.com