TM dan CyberSecurity Malaysia bergabung kepakaran perteguh ketahanan ruang siber negara | DagangNews Skip to main content

TM dan CyberSecurity Malaysia bergabung kepakaran perteguh ketahanan ruang siber negara


KUALA LUMPUR 1 Julai - Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE, hari ini memeterai satu Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan CyberSecurity Malaysia, agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), untuk memperkasa dan memperkukuhkan tahap
keselamatan siber di Malaysia.

 

MoC tersebut ditandatangani dalam satu acara yang diadakan secara maya oleh Dato' Ts. Amirudin Abdul Wahab FASc, Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia dan Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), TM.

 

Majlis tersebut telah disaksikan oleh Jeneral (Bersara) Tan Sri Dato' Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed, Pengerusi Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia dan Tan Sri Dato' Seri Mohd Bakke Salleh, Pengerusi TM.

 

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

 

Mengulas mengenai aspek-aspek penting dalam memorandum tersebut, Mohd Bakke berkata, TM berbesar hati untuk bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia dalam inisiatif strategik ini, yang bertujuan untuk meningkatkan jaringan dan ekosistem keselamatan siber negara dan memperkukuh keyakinan Malaysia di ruang siber.

 

Menurutnya, ia amat penting untuk memastikan penerimaan keselamatan siber seiring dengan kepantasan
transformasi bagi menjamin ekonomi digital negara.

 

"Sebagai rakan strategik, kami amat gembira dapat berkongsi kepakaran kami bukan hanya untuk inisiatif ini tetapi juga dalam misi Malaysia untuk meningkatkan keupayaan keselamatan sibernya.

 

"Kerjasama ini akan membolehkan kedua-dua pihak meningkatkan kemampuan sektor awam dan perniagaan bagi menangkis serangan siber yang datang dari seluruh pelosok dunia dan menjadikan keselamatan siber sebagai teras utama ke arah ekonomi digital, kerajaan digital dan masyarakat digital yang lestari," ujar beliau.

 

"TM sebagai pemacu Digital Malaysia, bersedia untuk memenuhi keperluan keselamatan siber untuk menjayakan penggunaan perkhidmatan awan: dan membolehkan organisasi-organisasi memberi tumpuan kepada perjalanan transformasi mereka dengan selamat dan selesa,” katanya.

 

Sementara itu, Mohd Azumi berkata, sebagai pakar dan agensi teknikal keselamatan siber, CyberSecurity Malaysia amat komited untuk memastikan aspek e-Keselamatan negara dan akan terus mengenal pasti bidang yang boleh membahayakan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

 

"Fokus utama adalah untuk memperkukuh kapasiti melalui pemantauan dan memberikan tindak balas yang berkesan terhadap ancaman dan serangan siber untuk mengelakkan kesan yang besar.

 

"Dengan termeterainya usaha sama strategik ini, prinsip dan mekanisme kolaborasi akan membolehkan
kedua-dua entiti bergabung dan mendapat manfaat daripada teknologi dan kepakaran masing-masing, justeru membolehkan kedua-dua organisasi bertindak sebagai rakan strategik komersial
di peringkat domestik dan antarabangsa," ujarnya.

 

Inisiatif di antara kedua-dua pihak termasuklah perkongsian amalan terbaik global, memanfaatkan keupayaan teknikal satu sama lain dan akan membawakan penyelesaian teknologi keselamatan siber yang optimum kepada perusahaan tempatan dan sektor awam.

 

Peranan TM merangkumi menawarkan penyelesaian keselamatan siber komprehensif yang menyeluruh buat Malaysia dan seluruh dunia. Ini dilaksanakan melalui CYDEC, yang merupakan portfolio keupayaan pertahanan siber aktif, produk dan perkhidmatan keselamatan terurus, yang dikuasakan oleh Pusat Operasi Keselamatan Global TM (GSOC).

 

CYDEC nyata membuka ruang kepada keyakinan digital dan ketahanan siber yang lebih tinggi dalam era digital. Perkhidmatan keselamatan terurus ini memastikan akses kepada keselamatan siber masa nyata, berterusan, bersifat ramalan, dengan cepat dan tanpa kerumitan, untuk jaminan tambahan dan berada pada
kedudukan terbaik untuk menjamin keselamatan dan melindungi Infrastruktur Rangkaian & Maklumat Kritikal (CNII) strategik negara ini.

 

Satu lagi aspek utama kolaborasi strategik ini adalah untuk meneroka pembangunan keupayaan pemantauan keselamatan yang dipertingkatkan dengan memanfaatkan infrastruktur awan TM ONE yang lengkap.

 

Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memajukan keupayaan forensik digital dan meningkatkan perkhidmatan tindak balas insiden. Ini akan mengetengahkan jangkauan siber, program pembangunan keupayaan dan kapasiti, yang akan membantu meningkatkan kemahiran dan potensi kecerdasan digital bagi tenaga kerja sektor awam dan swasta negara.

 

MoC ini juga menandakan keutamaan berterusan untuk menangani lonjakan ancaman siber yang memberikan kesan kepada kedua-dua sektor awam dan perniagaan sebagai langkah asas untuk membolehkan kelestarian, keselamatan dan masyarakat digital yang berjaya.

 

Penyelesaian keselamatan siber TM ONE CYDEC merangkumi empat (4) elemen penting:

  • Penyedia Perkhidmatan Keselamatan Terurus – penyelesaian dan pengurusan keselamatan menyeluruh dalam masa nyata melalui perlindungan ramalan di rangkaian persendirian atau awam
  • Perkhidmatan Langganan Keselamatan Siber – portal Perlindungan Risiko Digital layan diri yang dikuasakan oleh syarikat telekomunikasi global terkenal, Telefonica
  • Perkhidmatan Identiti Digital – memberikan sijil pengesahan dan tandatangan digital yang mematuhi sistem kawalselia dan perundangan Malaysia
  • Perkhidmatan Profesional – menawarkan khidmat perundingan dan penilaian keselamatan menyeluruh terhadap strategi dan landskap keselamatan siber sesebuah organisasi.

     

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian keselamatan siber CYDEC TM ONE, layari
www.tmone.com.my/solutions/cybersecurity-services dan layari www.cybersecurity.my untuk maklumat lanjut mengenai CyberSecurity Malaysia. - DagangNews.com