TM fokus kepada kecekapan, produktiviti lebih baik untuk kekal kompetitif pada 2023 | DagangNews Skip to main content

TM fokus kepada kecekapan, produktiviti lebih baik untuk kekal kompetitif pada 2023

KUALA LUMPUR 26 April - Telekom Malaysia Berhad (TM) akan memberi fokus kepada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi bagi mendepani 2023 yang mencabar, berikutan kelembapan ekonomi global serta kemungkinan kos operasi yang lebih tinggi.

 

Pengerusinya, Tan Sri Mohammed Azlan Hashim berkata, kumpulan itu menyedari keperluan untuk inovasi berterusan untuk terus berdaya saing dalam mendepani cabaran itu.

 

“Keupayaan kami untuk berkembang dan menyesuaikan diri telah memainkan peranan penting dalam kejayaan kami setakat ini, dan kami kekal komited untuk meneroka peluang baharu dan terus berada di hadapan,” katanya dalam Laporan Tahunan Bersepadu TM 2022 yang dikeluarkan hari ini, lapor Bernama.

 

Mohammed Azlan berkata, kumpulan itu terus berada di landasan yang betul dengan agenda pembinaan negaranya, khususnya dalam memacu visi Digital Malaysia, memperkasakan komuniti, perniagaan dan kerajaan.

 

“Kami percaya kejayaan kami sebagai sebuah syarikat sangat berkait rapat dengan kejayaan negara dan kami terus komited untuk memainkan peranan dalam membina Malaysia yang lebih kukuh, inklusif dan makmur,” katanya.

 

Beliau berkata, perkembangan kawal selia akan memberi kesan besar kepada perniagaan kumpulan pada tahun akan datang.

 

“Kami berharap dapat melihat pendekatan seimbang yang mengelakkan kesan yang tidak perlu, sambil terus menyampaikan kadar yang lebih murah dan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.

 

Dari segi persaingan, Beliau berkata, kumpulan itu menjangkakan potensi perubahan dalam senario 5G, serta cabaran baharu berkaitan Standard Mandatori terkini mengenai Harga Akses.

 

“Bagaimanapun, kami melihat potensi pertumbuhan yang kukuh dalam arena mudah alih tetap dan pendigitalan, yang akan menjadi penting untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta perniagaan pada 2023 dan seterusnya.

 

"Kami juga menyedari bahawa terdapat bidang lain yang harus dibangunkan, seperti keselamatan siber, rangkaian penyampaian kandungan dan pusat data, yang akan kami terus melabur sebagai sebahagian daripada peluang pertumbuhan kami," katanya. - DagangNews.com