TM tawar perkhidmatan 5G fasa pertama untuk pelanggan Unifi Mobile dan perniagaan | DagangNews Skip to main content

TM tawar perkhidmatan 5G fasa pertama untuk pelanggan Unifi Mobile dan perniagaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Telekom Malaysia Berhad (TM) menawarkan data 5G tanpa had kepada pelanggan pascabayar Unifi Mobile sedia ada, serta pelanggan pascabayar dan prabayar baharu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, pihaknya berada dalam kedudukan yang positif untuk mempercepatkan penggunaan 5G di Malaysia, sebagai peneraju dalam menyampaikan perkhidmatan jalur lebar tetap dan mudah alih yang lancar kepada pelanggan dan perniagaan.

 

"Perjanjian Akses Digital Nasional Berhad (DNB) menyediakan medan kepada semua syarikat telekomunikasi untuk mengakses rangkaian 5G secara sama rata bagi membawakan perkhidmatan inovatif yang lebih luas.

 

“Memanfaatkan akses sama rata 5G ini dan himpunan ketersambungan serta penyelesaian digital kami, TM akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melonjakkan inovasi dan transformasi digital di peringkat nasional, sejajar dengan program-program digital utama seperti JENDELA dan MyDigital untuk meletakkan Malaysia secara kompetitif sebagai sebuah hab teknologi.

 

“5G akan memantapkan lagi kedudukan TM sebagai peneraju dalam perkhidmatan penumpuan talian tetap dan mudah alih untuk segmen pengguna dan perusahaan mikro, kecil dan sederhada (PMKS) mengukuhkan keupayaan mudah alih kami untuk menyediakan penyelesaian semua-dalam-satu yang terpantas untuk jalur lebar tetap, perkhidmatan mudah alih dan kandungan digital yang memenuhi keperluan kehidupan dan pekerjaan digital masa kini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menyedari bahawa salah satu faktor kritikal dalam penggunaan 5G ialah kesediaan pelanggan untuk membeli peranti baharu berkeupayaan 5G, Unifi Mobile juga akan menawarkan pelan perkhidmatan beserta peranti 5G, yang menawarkan peranti merangkumi pelbagai harga sebagai pilihan, untuk memastikan kemampuan pengguna dari semua latar belakang.

 

Dengan 5G kini meliputi lebih daripada 33% kawasan berpenduduk di Malaysia, fasa pertama ini adalah penting untuk TM meluaskan capaiannya dan memberi peluang menawarkan perkhidmatan penumpuan yang kini dinikmati oleh 3 juta pelanggan kediaman dan hampir 400,000 PMKS. 

 

5G juga akan mengukuhkan Unifi sebagai rakan digital pilihan untuk PMKS, dengan menawarkan perkhidmatan sehenti yang lengkap untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka. 

 

Pada masa yang sama, TM terus berusaha untuk memantapkan rangkaian fiber negara, menyepadukan teknologi automasi dan virtualisasi untuk meningkatkan infrastruktur yang akan menyokong jangkaan permintaan untuk perkhidmatan dan keupayaan 5G. - DagangNews.com