KUALA LUMPUR 13 Mac - Telekom Malaysia Berhad (TM) dan ZTE (Malaysia) Corporation Sdn. Bhd. memeterai perjanjian baharu untuk membina awan hibrid berteraskan rangkaian 5G yang direka untuk teknologi dan aplikasi masa hadapan.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kerjasama strategik ini akan memupuk inovasi dan kemajuan teknologi terkini untuk projek teras 5G TM, yang merangkumi pelbagai aspek termasuk seni bina berasaskan SDN, penambahbaikan penggunaan perkakas, CUPS dan penyahgandingan 3 lapisan (3-layer decoupling).
Kemajuan teknologi itu akan mendorong pembangunan rangkaian teras 5G yang tertumpu, terbuka, dipercayai dan cekap.
Pembangunan rangkaian berkapasiti tinggi ini juga akan memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk lebar jalur dan kelajuan rangkaian apabila penggunaan dan ekosistem 5G Malaysia semakin berkembang.
Penyepaduan rangkaian tertumpu ini akan mengukuhkan keupayaan TM untuk menyediakan ketersambungan yang lancar dan prestasi rangkaian yang lebih baik, memberi perkhidmatan kepada pelbagai industri, termasuk sektor penjagaan kesihatan, kewangan, pengangkutan dan pendidikan.
Selain itu, awan hibrid berteraskan rangkaian 5G ini akan membantu dalam pertumbuhan bandar pintar, Internet Kebendaan (IoT) dan teknologi generasi baharu lain yang memerlukan sambungan pantas.
Naib Presiden Eksekutif Unifi Mobile, Jasmine Lee Sze Inn berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan ZTE dalam membina awan hibrid berteraskan rangkaian 5G yang direka untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat untuk teknologi masa depan.
“Kami percaya kerjasama ini akan mempercepatkan lagi penggunaan rangkaian 5G di seluruh Malaysia, dan membolehkan teknologi generasi akan datang seperti bandar pintar, IoT, Kepintaran Buatan, automasi dan teknologi masa depan yang lain, memacu industri dan agenda digital negara ke hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, pihaknya teruja dengan prospek kerjasama yang akan memajukan pembangunan rangkaian berteraskan 5G yang tertumpu, terbuka, cekap dan dipercayai.
“Kami teruja untuk mengukuhkan kerjasama kami dengan TM melalui pembangunan awan hibrid berteraskan rangkaian 5G.
"Sebagai pembekal terkemuka global bagi penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, kami yakin kemajuan hybrid cloud berteraskan rangkaian 5G ini akan menjadi model untuk rangkaian masa hadapan," katanya. - DagangNews.com